Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 32
(1-132)
Dengan Nama Allah Yang Maha Suci
Assalamu alaikum warahmatullah wabarakatuh selama-lamanya.Wahai saudara-saudaraku yang mulia dan ikhlas!
Saya telah melihat tiga cahaya yang menggembirakan. Saya akan menjelaskannya melalui tiga noktah kepada mereka yang diuji dengan penjara, orang yang bertugas mengurus hal ehwal mereka dan orang yang membantu pekerjaan dan membawa rezeki untuk mereka.
Noktah Pertama:
Sesungguhnya setiap satu hari kehidupan yang dihabiskan di dalam penjara, boleh menyebabkan seseorang memperoleh pahala ibadat selama sepuluh hari. Begitu juga beberapa jam yang fana’ dari sudut natijah itu boleh bertukar menjadi beberapa jam yang kekal abadi.. Bahkan menghabiskan masa selama beberapa tahun di dalam penjara mungkin boleh menjadi wasilah (jalan) untuk terselamat daripada penjara abadi selama jutaan tahun.
Keuntungan besar ini bagi ahli iman adalah bersyarat. Syaratnya ialah mereka hendaklah menunaikan segala perkara yang difardukan ke atas mereka, bertaubat kepada Allah daripada segala dosa dan maksiat yang menyebabkan mereka masuk ke dalam penjara serta bertawajjuh (menuju) kepada Allah dengan bersyukur kepadaNya dalam keadaan penuh kesabaran dan pengharapan. Penjara itu sendiri juga menghalangnya daripada banyak perkara dosa.
Noktah Kedua:
Sesungguhnya kehilangan kesakitan merupakan satu kenikmatan sebagaimana kehilangan kenikmatan adalah satu kesakitan.
Ya! Sesiapa yang berfikir tentang tentang hari-hari bahagia dan gembira yang telah dilaluinya, nescaya jiwanya akan merasa menyesal dan berdukacita, sehingga lidahnya akan mengeluarkan kata-kata penyesalan. Tetapi jika dia berfikir tentang hari-hari yang dipenuhi dengan bala bencana dan kesusahan, nescaya jiwa dan hatinya akan merasa gembira dan bahagia kerana bala bencana dan kesusahan tersebut sudah tiada lagi sehingga lidahnya akan mengeluarkan kata-kata pujian dan syukur kepada Allah. Bala bencana yang telah dialaminya telah meninggalkan pahala baginya, lalu dadanya merasa lapang dan tenang.
No Voice