Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 31
(1-132)
Kematian tidak akan musnah daripada kehidupan ini. Ajal maut pula disembunyikan daripada kita dengan lingungan alam ghaib, dan ia mungkin datang pada bila-bila masa sahaja. Kubur pula masih belum menutup pintunya. Kafilah manusia pula sentiasa datang dan pergi. Kematian bagi orang-orang yang beriman adalah tiket pembebasan dan perlepasan daripada ‘ketiadaan abadi’ sebagaimana dijelaskan oleh hakikat Qurani. Manakala kematian bagi golongan sesat dan bodoh pula sebagai ‘ketiadaan abadi’ sebagaimana yang mereka saksikan sendiri di hadapan mereka. Kerana kematian bagi mereka adalah perpisahan abadi daripada semua para kekasih dan kaum kerabat, bahkan seluruh makhluk yang wujud semuanya.
Oleh itu, tidak syak dan ragu lagi bahawa manusia yang paling bahagia ialah siapa yang bersyukur kepada tuhannya dalam keadaan sabar dan berharap serta mengeksploitasi waktunya di dalam penjara dengan sebaik-baiknya. Dia berusaha berkhidmat untuk al-Quran dan iman dengan mendapat panduan daripada Rasa’il al-Nur.
Wahai manusia yang diuji dengan kelazatan dan kenikmatan!
Saya tahu dengan yakin sepanjang 75 tahun daripada umur saya dan melalui ribuan pengalaman yang saya timba dalam hidup, serta melalui kejadian-kejadian seumpamanya, bahawa kelazatan hakiki yang tidak disaluti kesakitan, kegembiraan yang tidak dikeruhi kedukacitaan dan kebahagiaan sempurna dalam kehidupan hanya boleh berlaku di dalam keimanan, iaitu hanya dalam lingkungan hakikatnya sahaja, tidak yang lain. Tanpa keimanan, mana-mana nikmat keduniaan pasti mengandungi banyak kesakitan. Ketika dunia mempersembahkan kepada anda satu kenikmatan yang hanya sebesar sebiji anggur, ia akan menampar anda dengan puluhan kali ganda kesakitan yang akan merampas kelazatan dan kenikmatan kehidupan.
Wahai para banduan yang tidak bernasib baik dan diuji dengan penjara!
Oleh kerana dunia anda telah berdukacita dan ditangisi dan kehidupan anda telah dikeruhi dengan kesakitan dan bala bencana, maka berusahalah bersungguh-sungguh agar akhirat anda tidak juga ditangisi, dan agar kehidupan abadi anda dipenuhi dengan kegembiraan, kemanisan dan kebahagiaan. Wahai saudara-saudaraku! Rebutlah peluang ini. Sebagaimana berkubu selama satu jam sahaja di hadapan para musuh dalam keadaan yang penuh dengan kesukaran boleh bertukar menjadi satu tahun ibadat, maka setiap jam yang anda tempuhi di dalam penjara akan bertukar menjadi berganda-banda jika anda menunaikan semua yang difardukan. Ketika itu, segala kesukaran dan kesulitan akan bertukar menjadi rahmat dan pengampunan.
No Voice