Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 35
(1-132)
Dengan Nama Allah Yang Maha Suci
(Segala sesuatu bertasbih kepadaNya)
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh selama-lamanya.
Wahai saudaraku seagama dan rakanku sepenjara!Terlintas di fikiran saya untuk menjelaskan kepada kamu tentang satu hakikat yang penting. Dengan izin Allah, hakikat ini akan menyelamatkan kamu daripada azab di dunia dan di akhirat. Saya akan menjelaskannya melalui satu perumpamaan:
Seorang lelaki telah membunuh saudara atau salah seorang kerabat seorang lelaki lain. Pembunuhan yang terbit daripada kelazatan perasaan balas dendam ini hanya mengambil masa tidak lebih daripada satu minit sahaja. Namun ia mengakibatkan jutaan minit kesempitan hati dan kesusahan penjara. Dalam masa yang sama, keluarga mangsa juga sentiasa berada dalam kegelisahan dan menanti-nanti peluang untuk membalas dendam setiap kali mereka berfikir tentang si pembunuh atau melihat keluarganya. Hidup mereka hilang kemanisan dan kebahagiaan lantaran azab ketakutan, kegelisahan, kedengkian dan kemarahan yang mereka hadapi.
Tiada ubat dan rawatan bagi perkara ini melainkan perdamaian. Inilah yang diperintahkan oleh al-Quran dan diserukan oleh kebenaran dan hakikat. Ia mengandungi kemaslahatan bagi kedua-dua belah pihak dan ia dituntut oleh sifat kemanusiaan itu sendiri serta digesa oleh Islam.
Ya, kemaslahatan sebenar terdapat pada perdamaian. Perdamaian adalah langkah terbaik. Kerana ajal hanya satu, tidak akan berubah. Mangsa yang terbunuh itu tetap akan mati jika ajalnya telah tiba. Manakala si pembunuh pula hanya menjadi wasilah (alat) kepada pelaksanaan ketetapan ilahi. Jika tidak ada perdamaian di antara kedua-dua belah pihak, mereka akan terus hidup dalam keadaan ketakutan dan perasaan ingin membelas dendam dalam suatu tempoh yang lama. Oleh itu, Islam memerintahkan agar seseorang muslim tidak memutuskan hubungan dengan saudara seIslamnya dengan tidak menegurnya lebih daripada tiga hari.
No Voice