Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 37
(1-132)

Dengan Nama Allah Yang Maha Suci
(Segala sesuatu bertasbih kepadaNya)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh selama-lamanya.
Saudara-saudaraku sepenjara yang mulia, sama ada yang baru atau lama!
Saya merasa amat yakin bahawa pertolongan ilahi telah mencampakkan kami ke sini demi kamu semua. Kedatangan kami ke sini hanyalah untuk menyebarkan hiburan dan keselesaan yang dikandung oleh Rasa’il al-Nur kepada kamu semua… serta meringankan kesempitan penjara daripada kamu dengan hakikat-hakikat keimanan… serta memelihara kamu daripada kebanyakan bala bencana dan kesusahan dunia… serta menyelamatkan kehidupan kamu yang dipenuhi dengan pelbagai kedukacitaan dan kegelisahan akibat melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah… serta menyelamatkan akhirat kamu daripada menjadi seperti dunia kamu yang ditangisi dan menjadi sumber dukacita.
Oleh kerana inilah hakikatnya, maka kamu mestilah menjadi saudara yang berkasih sayang sepertimana para penuntut al-Nur dan seperti mereka yang pernah bersama kami di dalam penjara Denizli.
Kamu semua melihat bagaimana kesukaran yang dihadapi oleh para pengawal yang mengambil berat untuk memberikan perkhidmatan kepada kamu. Mereka menghadapi pelbagai kesukaran untuk melakukan pemeriksaan, bahkan mereka terpaksa memeriksa makanan kamu agar tidak terdapat alat yang tajam agar tidak berlaku perkara tidak diingini di kalangan kamu, seolah-olah kamu adalah seperti binatang buas yang akan menerkam di antara satu sama lain. Di samping itu, kamu juga tidak berpeluang untuk bersiar-siar dan berehat kerana bimbangkan berlakunya peperangan di antara kamu.
Hendaklah kamu berkata kepada banduan yang baru masuk, yang turut mempunyai semangat kepahlawanan seperti kamu dan kepada pihak yang berkuasa, hendaklah kamu berkata kepada mereka dengan kepahlawanan maknawi yang ada pada diri kamu:
“Bukan senjata ringan yang tajam sahaja, bahkan jika kamu menyerahkan kepada kami senjata api, maka kami tetap tidak akan bertindak ganas terhadap sahabat dan kekasih kami yang sama-sama mendapat musibah bersama kami, meskipun terdapat permusuhan lama antara kami. Kami telah memaafkan mereka semuanya. Kami akan berusaha bersungguh-sungguh agar kami tidak meluka dan menghancurkan perasaan mereka. Inilah keputusan yang telah kami ambil berdasarkan panduan al-Quran dan saranan saudara-saudara seIslam kami, juga berdasarkan kepentingan kita bersama.”
Dengan demikian, kamu akan menukar penjara ini kepada sebuah madrasah yang baik lagi diberkati.
[Penghujung Maqam Kedua daripada Kalimah Ketiga Belas]
No Voice