Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 36
(1-132)
Jika pembunuhan itu bukan berpunca daripada permusuhan yang lama atau perasaan hasad dengki yang tersembunyi, malahan ia disebabkan oleh api fitnah yang dinyalakan oleh seorang munafiq, maka perdamaian lebih-lebih dituntut untuk berlaku dengan segera. Kerana jika perdamaian tidak segera dicapai, musibah itu akan bertambah besar dan berkekalan. Manakala jika kedua-dua belah pihak mencapai perdamaian, si pembunuh juga telah bertaubat daripada dosanya bahkan sentiasa mendoakan kesejahteraan bagi mangsanya, maka kedua-dua belah pihak akan memperoleh banyak kebaikan. Kerana kasih sayang dan kemesraan akan tersemai di antara mereka. Kemaafan diberikan kepada musuh dan ini akan menyebabkan mereka yang memaafkan akan memperoleh ramai saudara yang bertaqwa dan baik sebagai ganti daripada hanya seorang saudara yang telah meninggalkan mereka. Dengan itu, kedua-dua belah pihak juga berserah kepada ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah. Ini amat dituntut daripada mereka yang sentiasa mengikuti pengajaran Rasa’il al-Nur. Mereka diseru agar meninggalkan segala perkara yang boleh menjejaskan hubungan di antara dua orang. Ini kerana persaudaraan yang mengikat mereka dalam rangka cahaya ilahi dan kepentingan umum serta kelapangan fikiran dan kesejahteraan dada yang dituntut oleh iman, semuanya menuntut agar segala perselisihan dibuang dan diganti dengan keserasian dan kesepakatan. Ini telah benar-benar berlaku di antara dua kumpulan banduan yang saling memusuhi di antara satu sama lain di dalam penjara Denizli. Tetapi dengan rahmat Allah, mereka menjadi saudara yang berkasih sayang setelah mereka menerima beberapa pelajaran daripada Rasa’il al-Nur. Bahkan mereka menjadi salah satu sebab pembebasan kami, hinggakan golongan kufur dan bodoh dari kalangan manusia hanya mampu untuk berkata secara terpaksa: “Masha Allah… Baraka Allah…! Dengan demikian, dada seluruh banduan menjadi lapang dan bernafas lega dengan rahmat daripada Allah. Di sini, saya melihat betapa kezaliman yang diperlakukan kepada para banduan, sehingga seratus orang daripada mereka mendapat kesusahan apabila hanya seorang sahaja dari kalangan mereka yang melakukan kesalahan, sehingga mereka yang berada dalam kumpulannya tidak berani keluar ke halaman penjara pada waktu-waktu rehat… Ketahuilah bahawa seorang mukmin yang kuat keimanannya tidak akan sanggup melihat seorang mukmin lain disakiti, apatah lagi jika dia menjadi sebab kepada kesakitan saudara mukminnya demi mencapai kemanfaatan dirinya sendiri. Oleh itu, seseorang mukmin hendaklah segera bertaubat dan kembali kepada Allah setiap kali dia merasa bersalah atau menyebabkan seorang mukmin lain mendapat kesusahan.
No Voice