Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 38
(1-132)

Satu Lintasan Di Malam Lailatul Qadar

Ini adalah satu hakikat yang amat luas dan panjang. Ia terlintas di dalam hati saya pada malam lailatul qadar. Saya akan cuba untuk menjelaskannya secara ringkas sebagaimana berikut:
Pertama: Manusia telah menghadapi pelbagai jenis kecelakan akibat Perang Dunia yang berlaku. Manusia menyaksikan kezaliman, kemaharajalelaan dan penguasaan yang tidak terbatas, di samping kemusnahan yang menggerunkan di seluruh pelusuk dunia. Ratusan orang memperoleh bala bencana yang diakibatkan oleh seorang individu sahaja. Orang-orang yang lemah pula jatuh ke lembah kecelakaan yang amat pahit. Bahkan orang-orang yang berkuasa juga turut berada dalam azab maknawi yang pedih kerana mereka tidak mampu membaiki semula kemusnahan dahsyat yang mereka lakukan serta kebimbangan mereka terhadap ketidakmampuan mereka untuk mengekalkan kekuasaan. Dengan ini, kelihatan dengan amat jelas bagi manusia bahawa kehidupan dunia ini pasti akan musnah. Hiasan tamadun pula hanya tipuan memabukkan dan sedikitpun tidak mendatangkan faedah. Kemanusiaan terconteng dengan darah tusukan kuat yang dihalakan kepada diri kemanusiaan dan kesediaannya untuk meningkat ke alam fitrah yang lebih tinggi… Jelas terpampang juga kehancuran yang dialami oleh kealpaan, kesesatan dan sifat semulajadi yang beku dan tuli kerana terkena hentakan pedang permata al-Quran… Gambaran sebenar politik antarabangsa yang hodoh dan penuh tipu daya itu juga terdedah. Ia merupakan dinding paling luas dan keras yang digunakan bagi melalai dan menyesatkan manusia serta menipu jiwa mereka.
Setelah semua hakikat ini jelas terpampang, maka sudah tentu fitrah manusia akan mencari cintanya yang hakiki iaitu kehidupan yang kekal abadi. Manusia akan berusaha untuk mencapainya dengan segala kekuatan yang dimiliki. Fitrah manusia telah mula kelihatan sedar dan telah mula kelihatan tanda-tandanya di sebelah Utara dan Barat, bahkan di Amerika. Fitrah manusia akan tahu dengan sebenarnya bahawa kehidupan dunia yang dicintainya itu adalah suatu yang hodoh, cacat, akan binasa dan akan hilang.
Sudah pasti fitrah manusia itu akan mencari al-Quran al-Karim yang mempunyai 300 juta para amilin dan penuntut semenjak 1360 tahun lalu… Setiap hukum dan dakwaan yang terdapat di dalamnya disahkan benar oleh jutaan ahli hakikat… Kedudukannya yang suci juga tetap terpelihara di dalam hati jutaan para hafiz setiap minit… Ia (al-Quran) memberikan petunjuk kepada kemanusiaan melalui lidah-lidah mereka (para hafiz)… Ia (al-Quran) membawa khabar gembira tentang kehidupan dan kebahagiaan yang kekal abadi dengan uslubnya yang penuh mukjizat. Ia membalut luka-luka parah yang dialami manusia, bahkan ia membawa khabar gembira kepada manusia melalui ribuan ayat-ayatnya yang kuat dan berulang-ulang. Kadang-kadang ia mengkhabarkan secara terang-terangan dan kadang-kadang secara sepintas lalu sebanyak puluhan ribu kali, dengan mengemukakan dalil, bukti dan hujjah yang putus, jelas dan kuat.
No Voice