Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 26
(1-132)
Setiap insan juga merasakan bahawa tembok kukuh yang dijadikan sebagai benteng pertahanan bagi menyelamatkan kehidupannya yang abadi telah terdedah kepada keretakan dan keruntuhan pada masa ini. Oleh itu, di samping dia terpaksa meninggalkan dunia ini berserta para kekasihnya dan tidak akan pulang lagi, dia juga mendapati dirinya berhadapan dengan satu permasalahan utama, iaitu sama ada memperoleh atau tidak memperoleh sebuah kerajaan agung yang lebih luas, lebih baik dan lebih sempurna daripada seluruh isi dunia ini.
Jika dia tidak memperoleh sijil keimanan dan dokumen aqidah yang benar, nescaya dia akan kehilangan, kerugian dan kalah dalam kes ini! Pada pendapat kamu, adakah kerugian yang besar ini dapat digantikan dengan sesuatu yang wujud di atas muka bumi ini?
Bertitik tolak daripada hakikat ini, maka penyempurnaan tugas yang mulia ini dengan sebaik-baiknya tidak dapat ditanggung oleh akal saya dan juga akal saudara-saudara saya sekalipun akal-akal tersebut dilipatgandakan beratus kali ganda. Oleh itu, memerhati dan mengambil berat terhadap perkara yang lain hanya merupakan pembaziran dan sedikitpun tidak memberikan keuntungan kepada kita. Namun terdapat sekumpulan para penuntut al-Nur telah terpaksa untuk melihat dan mengkaji perkara-perkara lain itu bukan dengan pilihan mereka sendiri, demi mempertahankan hak-hak mereka yang dilanggari oleh beberapa kerat manusia yang bingung. Manusia-manusia ini hanya mementingkan kes-kes lain yang tidak sepatutnya diambil berat sehingga mereka melanggar hak-hak kita tanpa sebarang sebab yang menasabah menyebabkan mereka menggugat kita.
Di samping itu, berpaling kepada masalah-masalah dan pertarungan-pertarungan di luar permasalahan hakiki dan utama itu dan mengambil berat tentangnya dengan sepenuh hati dan pemikiran merupakan satu perkara yang amat memudaratkan. Kerana sesiapa yang menumpukan perhatian dan menyibukkan diri dengan perkara-perkara seumpama ini seperti medan politik yang amat luas dan dipenuhi dengan pelbagai berita sensasi, dia akan melupakan dirinya sendiri. Dia lupa bahawa dia diperintahkan untuk beramal dalam lingkungan terhad yang mempunyai tempoh masa yang pendek sahaja. Dia akan mundur atau menjadi lemah untuk menjalankan tugas utama yang diletakkan di atas pundak kepalanya di dalam lingkungan terhad itu.
No Voice