Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 66
(1-132)
Kami menyucikan keadilan dan keindahan Engkau yang mutlak serta rahmat Engkau yang luas tanpa ada batasan sempadan… Kami menyucikannya daripada kegelapan dan kejelekan yang tidak berpenghujungan ini…
Kami juga berpegang dan beriman dengan sepenuh kekuatan yang dikurniakan kepada kami bahawa ribuan para rasul dan nabi yang mulia, serta bilangan yang tidak terkira daripada kalangan para asfiya’ (golongan pilihan) dan awliya’ (para wali) iaitu orang-orang yang sentiasa menyeru Engkau dan memberikan persaksian dengan haqqul yaqin, ‘ainul yaqin dan ‘ilmul yaqin… mereka semua mempersaksikan terhadap kewujudan khazanah rahmat Engkau di akhirat dan khazanah kebaikan Engkau di alam yang kekal abadi. Mereka juga mempersaksikan tentang jelmaan nama-nama Engkau yang mulia (al-asma’ al-husna) yang akan terbongkar keseluruhannya di negeri akhirat, iaitu negeri yang dipenuhi dengan kebahagiaan…
Kami beriman bahawa persaksian ini adalah suatu yang benar dan hakikat. Kami juga beriman bahawa segala apa yang mereka tunjukkan adalah kebenaran dan realiti yang pasti berlaku. Kami juga beriman bahawa perkhabaran gembira yang mereka bawa adalah suatu yang benar dan suatu yang realiti… Mereka semua beriman bahawa hakikat yang agung ini iaitu hakikat hari kebangkitan semula merupakan cahaya sinaran agung yang terpancar daripada nama al-haqq yang menjadi tempat rujukan segala hakikat-hakikat yang lain. Mereka semua menunjuki para hamba Engkau yang lain (dengan keizinanMu jua) kepada daerah kebenaran dan mereka mengajar tentang diri hakikat yang sebenarnya.
Wahai tuhanku! Dengan kemuliaan ajaran yang mereka bawa, dan dengan kemuliaan petunjuk yang mereka paparkan, berilah kepada kami keimanan yang sempurna dan kurniakanlah kepada kami kesudahan kehidupan yang baik… Sama ada kepada kami dan juga kepada para penuntut al-Nur yang lain. Dan jadikanlah kami layak untuk menerima syafaat mereka… Amin.”
Demikianlah bagaimana dalil dan hujjah yang ada membuktikan kebenaran al-Quran bahkan kebenaran segala kitab langit yang lain. Begitu juga segala mukjizat dan bukti yang membuktikan kenabian Rasulullah saw dan juga para nabi yang lain menunjukkan hakikat kebenaran utama yang menjadi inti pati dakwah mereka, iaitu kepastian kewujudan hari akhirat. Begitu juga kebanyakan dalil yang mempersaksikan kemestian kewujudan Allah tuhan yang kewujudannya adalah wajib mempersaksikan juga terhadap kewujudan negeri kebahagiaan dan alam yang kekal yang menjadi paksi rububiyyah dan uluhiyyah, bahkan ia adalah fenomena terbesar terhadap sifat rububiyyah dan uluhiyyah Allah. Semuanya menunjukkan kepada kewujudan negeri tersebut yang pintu-pintunya sentiasa terbuka sebagaimana yang akan diterangkan pada maqam-maqam akan datang. Ini semua adalah kerana kewujudan Allah swt sendiri, kewujudan sifat-sifatNya yang mulia, kewujudan kebanyakan nama-namanya yang agung (al-asma’ al-husna), hal ehwalNya yang bijaksana dan sifat-sifatNya yang kudus seperti rububiyyah, uluhiyyah, rahmah, ‘inayah (penjagaan), kebijaksanaan dan keadilan… kesemuanya menuntut kemestian kewujudan hari akhirat, bahkan menuntut kewujudan suatu alam yang bersifat kekal itu hingga sampai ke peringkat wajib. Ia juga menuntut kewujudan hari kebangkitan semula bagi urusan memberikan balasan pahala dan seksa yang mencapai tahap amat perlu juga.
No Voice