Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 83
(1-132)
Rawatan Kelima
Kepada Pemuda Yang Sakit
Wahai pesakit yang sedang diuji dan diduga! Melalui pengalaman saya pada masa sekarang, saya merasa penuh keyakinan bahawa penyakit yang dihadapi oleh segolongan manusia merupakan satu bentuk kebaikan Ilahi dan hadiah ketuhanan. Beberapa orang pemuda telah berjumpa dengan saya dalam tempoh lapan atau sembilan tahun ini. Mereka meminta saya mendoakan kesihatan buat mereka sekalipun saya bukanlah orang yang layak berbuat demikian, daripada penyakit-penyakit yang mereka hadapi. Saya dapati sesetengah daripada mereka yang sedang menghadapi penyakit itu lebih banyak menghabiskan masa berfikir dan mengingati akhirat. Tidak lagi mabuk dan tenggelam dalam kealpaan masa muda. Bahkan mereka sedikit sebanyak memelihara dan menjaga diri daripada terjerumus ke lembah syahwat kehaiwanan. Oleh itu, saya memperingatkan mereka bahawa penyakit yang masih boleh ditanggung itu sebenarnya adalah pemberian ihsan daripada Allah SWT. Saya berkata: “Wahai saudaraku! Saya tidak menentang penyakit yang engkau hadapi. Saya juga tidak merasa kasihan terhadap engkau kerana penyakit yang engkau hadapi sehingga membolehkan saya melakukan doa untuk engkau. Apa yang saya harapkan ialah agar engkau terus bersabar dan teguh pendirian menghadapi penyakit ini hingga akhirnya engkau sembuh dan kembali sihat walafiat. Kerana selepas penyakit ini selesai menjalankan tugasnya, Allah tuhan yang mencipta engkau dan tuhan yang maha pengasih itu pasti akan menyembuhkan engkau, insya Allah.” Saya juga berkata: “Sesungguhnya sesetengah orang seperti engkau sedang menggongcang dan meruntuhkan tiang kehidupan abadinya kerana mahu memperolehi kenikmatan zahir yang sementara di atas dunia ini. Mereka hidup dalam kealpaan kerana kesihatan yang dimiliki. Kepada mereka, kesihatan itu adalah bala sebenarnya. Mereka meninggalkan sembahyang, lupa kepada kematian dan lalai daripada melaksanakan perintah Allah SWT. Tetapi melalui penyakit yang dihadapi, engkau dapat melihat kubur iaitu tempat persinggahan yang engkau sama sekali tidak dapat melarikan diri daripadanya suatu hari nanti. Di samping itu, engkau juga dapat melihat segala tempat-tempat persinggahan akhirat yang lain. Oleh itu, segala tindakan dan kelakuan engkau adalah berdasarkan apa yang engkau lihat itu. Sebenarnya, penyakit engkau adalah ibarat kesihatan bagi engkau. Manakala kesihatan yang sedang dinikmati oleh sebahagian manusia pula adalah seperti penyakit buat mereka.”Kepada Pemuda Yang Sakit
No Voice