Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 90
(1-132)
Pada zaman seperti ini, yang dosa dan kejahatan melakukan serangan dari segenap penjuru, maka perbuatan menjauhkan diri daripada satu dosa sahaja berserta dengan sedikit amalan kebaikan, sudah pun menyamai peninggalan ratusan dosa (yang berlaku akibat satu dosa tersebut) dan pelaksanaan ratusan kewajipan.
Noktah ini amat perlu diberikan perhatian. Namun ia tidak akan terhasil melainkan dengan niat yang ikhlas, dengan taqwa dan dengan tujuan untuk menjauhkan diri daripada dosa dan kejahatan. Seseorang akan memperoleh balasan pahala beberapa amal salih yang terbit daripada satu ibadat yang dia sedikit pun tidak melakukan usaha untuk mengerjakannya.
Sesungguhnya tugas paling penting yang mesti dilaksanakan oleh para penuntut Rasa’il al-Nur yang menjadi khadam al-Quran pada masa sekarang ialah:
Menjadikan taqwa sebagai asas segala amalan. Kemudian melangkah ke hadapan berdasarkan taqwa tersebut dalam menghadapi arus pemusnahan dan serangan yang menggerunkan dan dosa-dosa yang meliputi mereka. Kerana manusia hari ini ketika menjalani pelbagai bentuk kehidupan moden terpaksa berdepan dengan ratusan dosa dan kesalahan pada setiap minit. Maka tidak ragu lagi, taqwalah yang menjadikan seseorang itu seolah-olah melaksanakan ratusan amal salih, kerana dia menjauhkan dirinya daripada melakukan perkara-perkara haram.
Adalah termaklum bahawa dua puluh orang lelaki tidak akan mampu membina sebuah bangunan dalam masa dua puluh hari. Tetapi sesuatu binaan boleh diruntuhkan oleh hanya seorang lelaki sahaja dalam masa sehari.
Oleh itu, sepatutnya jika terdapat satu orang melakukan peruntuhan dan pemusnahan akhlak dan ruh, maka sepatutnya perbuatannya dibalas dengan dua puluh orang yang melakukan pembinaan dan yang memakmurkan sudut tersebut. Tetapi kita menyaksikan realiti yang sebaliknya. Ribuan orang melakukan peruntuhan dan pemusnahan, tetapi mereka hanya dihadapi oleh hanya satu pihak sahaja, dan pihak yang satu itu ialah Rasa’il al-Nur.
Oleh itu, penentangan berseorangan yang dilakukan oleh khadam al-Quran dalam menghadapi pemusnahan yang menakutkan itu, merupakan satu keadaan yang amat menakjubkan! Apatah lagi jika kedua-dua kekuatan yang sedang berhadapan itu mempunyai tahap kemampuan yang sama. Pasti anda akan menyaksikan lebih banyak perkara yang amat menakjubkan dalam proses pemakmuran dan pembinaan (akhlak dan ruh) yang berlaku itu!
Kami bawakan satu contoh sahaja bagi menerangkannya:
Sesungguhnya paksi utama dalam kehidupan kemasyarakatan ialah golongan muda menghormati golongan tua dan golongan tua mengasihi golongan muda. Tetapi sekarang kita menyaksikan bahawa asas utama ini telah runtuh, sehinggakan kita kerap mendengar berita dan kejadian menyayat hati dan menyedihkan yang menimpa para ibu bapa. Ia berlaku lantaran runtuh dan musnahnya asas yang utama ini.
No Voice