Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 89
(1-132)
[Daripada Mulhaq Qastamuni]
Risalah ini berada pada kedudukan yang amat penting
Risalah ini berada pada kedudukan yang amat penting
Taqwa dan Amal Salih
Dengan Nama Allah Yang Maha Suci
Assalamu alaikum warahmatullah wabarakatuh selama-lamanya.
Wahai saudara-saudaraku yang mulia lagi setia!
Sesungguhnya dalam beberapa hari ini saya berfikir tentang asas-asas taqwa dan amal salih, yang kedua-duanya adalah dua asas yang paling utama pada pandangan al-Quran al-Karim selepas iman.
Taqwa ialah meninggalkan perkara yang dilarang dan menjauhi segala dosa dan kejahatan. Manakala amal salih pula ialah melakukan perkara yang disuruh bagi mendapat kebaikan.
Zaman sekarang diselubungi dengan kemusnahan (akhlak dan ruh), pembangkitan hawa nafsu yang ammarah bissu’ (sentiasa menyuruh melakukan kejahatan) dan pelepasan hawa nafsu daripada sebarang kekangan.. Oleh itu, pada zaman sekarang, taqwa menjadi asas yang paling utama bahkan asas kepada segala asas. Ia juga menempati kedudukan paling utama kerana ia adalah penolakan kepada segala mafsadah (kerosakan) dan peninggalan segala dosa besar. Ini adalah kerana -pada setiap ketika- menolak kerosakan adalah lebih utama daripada menarik kemanfaatan, sebagaimana ditentukan oleh sebuah kaedah yang telah ditetapkan.
Oleh kerana aliran-aliran yang memusnahkan ruh dan akhlak telah berselerakan di sana sini pada masa sekarang, maka taqwa telah menjadi asas yang terbesar dan teragung bagi menutup dan menghalang kemusnahan yang menggerunkan itu. Sesiapa yang berjaya melaksanakan segala kefarduan yang diperintahkan kepadanya dan tidak melakukan dosa-dosa besar, maka dia akan terselamat dengan izin Allah. Kerana taufiq untuk melakukan amalan yang ikhlas meskipun dikelilingi dengan pelbagai jenis dosa-dosa besar yang menggiurkan, adalah suatu perkara yang sukar berlaku.
Sesungguhnya sesuatu amalan salih yang dilakukan meskipun sedikit akan menjadi banyak dan besar (kesannya) berdasarkan syarat-syarat yang berat itu dan dalam suasana yang mencengkam.
Kemudian di sana terdapat sejenis amal salih yang termasuk di dalam kandungan taqwa itu sendiri. Kerana meninggalkan yang haram adalah wajib, sedangkan melaksanakan perkara wajib, pahalanya adalah lebih besar daripada pahala melakukan kebanyakan perkara sunat.
No Voice