Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 92
(1-132)
Satu Lembaran Kehidupan
Saya tinggal selama dua tahun di rumah Umar Basha, seorang gabenor di Betlez kerana kesungguhannya mendesak saya untuk tinggal di situ dan kerana sifatnya yang amat menghormati ilmu dan ulama.. Beliau mempunyai enam orang anak perempuan; tiga daripadanya masih kecil dan tiga lagi sudah baligh dan dewasa.. Meskipun saya tinggal dengan mereka di dalam sebuah rumah sepanjang tempoh dua tahun, namun saya masih tidak dapat membezakan di antara ketiga-tiga anaknya yang sudah dewasa itu, kerana saya tidak pernah merenung dan melihat kepada mereka sehingga saya dapat membezakan mereka. Pada suatu hari, seorang alim menjadi tetamu saya di rumah tersebut, tetapi dia sudah boleh mengenal dan membezakan di antara ketiga-tiga anak gabenor yang sudah dewasa itu hanya dalam tempoh dua hari sahaja. Orang-orang yang di sekitar saya merasa hairan kenapa saya masih tidak dapat mengenal dan membezakan di antara ketiga-tiga anak perempuan yang sudah dewasa itu. Mereka mula bertanya:
Kenapa tuan tidak melihat kepada mereka?
Saya menjawab: Demi untuk menjaga kemuliaan ilmu, saya merasa tertegah untuk melihat mereka.
* * *
Satu festival telah diadakan di Istanbul empat puluh tahun lalu, menyebabkan keadaan menjadi amat sesak. Ribuan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang yang datang dari Istanbul, Rom dan Armenia berdiri di kedua-dua tebing teluk yang memisahkan Istanbul kepada dua bahagian.Saya bersama-sama dengan Encik Taha dan Encik Ilyas yang kedua-duanya adalah anggota Majlis Perwakilan menaiki sebuah bot untuk pergi ke hujung teluk tersebut tempat di mana sambutan besar-besaran diadakan.
Bot kami melalui berdekatan wanita-wanita tersebut. Saya sedikit pun tidak sedar bahawa kedua-dua Encik Taha dan Encik Ilyas telah berpakat sesama mereka untuk memerhatikan saya secara bergilir-gilir bagi mengetahui adakah saya akan melihat kepada para wanita tersebut atau tidak. Akhirnya setelah sejam kami berligar-ligar dengan bot tersebut di hadapan para wanita itu, mereka berdua mengaku dengan berkata:
“Kami amat hairan. Tuan sedikitpun tidak mengangkat pandangan tuan kepada mereka.”
Saya menjawab: “Saya tidak mahu merasai sesuatu yang sementara lagi remeh dan bercampur baur dengan kesakitan, kerana akibatnya ialah kesakitan dan penyesalan.”
No Voice