Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 94
(1-132)
Sepanjang hidupnya, dia mendapati dirinya sentiasa berada dalam kesakitan dan pengharapan yang tidak berakhir, sedangkan dia tidak memiliki kecuali sebuah iradah (kehendak) yang sekelumit, kudrat yang terhad, kehidupan yang pendek, umur yang binasa dan fikiran yang semakin berkurang.. Usahanya untuk menenangkannya menjadi sia-sia. Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi kehendak-kehendaknya yang tidak terbatas. Demikianlah bagaimana kehidupannya berlangsung tanpa dia memperoleh buah dan hasilnya.
Ketika anda mendapatinya lemah dan tidak mampu menanggung bebanan dirinya sendiri, tetapi anda dapatinya menggantung pada tengkuk dan pada pundak kepalanya segala bebanan dunia yang maha besar ini. Ini menyebabkan dia terseksa dengan azab yang membakar dan menyakitkan sebelum dia menerima azab neraka jahim.
Sesungguhnya ahli kesesatan tidak merasai kesakitan yang pahit dan azab ruh yang menakutkan ini, kerana mereka mencampakkan diri mereka ke pangkuan kealpaan untuk menghilangkan perasaan dan sensitiviti mereka dalam tempoh yang sementara dengan kemabukannya.. Tetapi sebaik sahaja salah seorang daripada mereka mula mendekati tebing perkuburan, maka perasaannya akan menjadi halus dan perasaan sakitnya akan menjadi berganda-ganda secara tiba-tiba. Ini kerana jika dia bukan hamba Allah yang ikhlas, maka dia akan menyangka bahawa dia memiliki dirinya sendiri, sedangkan dia adalah lemah kerana hanya mempunyai kehendak yang sekelumit dan kudrat yang secebis, hinggakan kehendak dirinya sendiri juga adalah lemah ketika berhadapan dengan bencana alam di dunia ini. Dia melihat alam ini dipenuhi musuh yang melingkunginya, bermula daripada sehalus-halus kuman dan berakhir dengan bencana gempa bumi yang sentiasa bersedia untuk menerkam dan membinasakannya. Oleh itu, dia menggeletar ketakutan dan hatinya menggigil kebimbangan setiap kali dia mengkhayalkan keadaan kubur dan melihat kepadanya.
Sedang dia mengalami apa yang dialaminya, hal ehwal dunia yang berhubung dengan dia juga sentiasa memenatkannya. Begitu juga dengan hal ehwal manusia yang mempunyai hubungan dengannya. Ini kerana dia menyangka bahawa segala kejadian dan peristiwa yang berlaku lahir daripada permainan semulajadi dan pertunjukan kebetulan. Bukan datang daripada perbuatan seorang Tuhan Yang Maha Esa, Lagi Maha Bijaksana dan Lagi Maha Mengetahui. Bukan datang daripada perkiraan seorang Tuhan Yang Maha Berkuasa, Lagi Maha Mengasihani dan Lagi Maha Mulia. Oleh itu, di samping kesakitan-kesakitannya sendiri, dia juga terpaksa mengalami kesakitan-kesakitan orang lain. Segala mala petaka seperti gempa bumi, penyakit taun, angin taufan, kemarau, peningkatan harga barangan, kemusnahan, kebinasaan dan seumpamanya menjadi musibah besar dan bala menakutkan bagi dirinya.
Orang ini yang memilih sendiri untuk berada dalam situasi yang tragis tidak berhak untuk mendapat kasihan belas dan ratapan terhadap dirinya.. Perumpamaan lelaki tersebut sama dengan seorang lelaki yang telah disebutkan ketika dibuat perbandingan di antara dua orang bersaudara sebagaimana telah diceritakan di dalam Kalimah Kelapan. Di sana telah disebutkan bahawa seorang lelaki tidak berpuas hati dengan kenikmatan yang bersih, kegembiraan yang suci, hiburan yang manis dan perkelahan yang mulia lagi dibenarkan, di samping para kekasih yang sopan di dalam taman yang luas dan di tengah-tengah sambutan yang mesra. Namun dia memilih untuk meneguk najis arak bagi memperoleh kelazatan yang tidak dibenarkan. Lalu dia mabuk sehingga dia mula mengkhayalkan bahawa dia sedang berada di tempat yang kotor, di kalangan binatang-binatang buas. Dia menggeletar seolah-olah sedang berada pada musim dingin. Dia mula menjerit dan meminta pertolongan, namun tiada siapa yang mengasihaninya, kerana dia menyangka makanan yang lazat dan pinggan mangkuk yang berada di bilik tamu sebagai batu batan yang bernajis, lalu dia terus memecahkannya… Dia menyangka buku-buku berharga dan surat-surat bernilai yang berada di tempat duduk sebagai ukiran-ukiran biasa dan perhiasan yang tidak mempunyai sebarang makna, lalu dia mula mengoyakkannya dan mencampakkannya di bawah tapak kakinya.. Demikianlah keadaannya.
No Voice