Perkataan pendek | Perkataan pendek | 10
(1-69)

Manakala jalan tersebut adalah jalan kehidupan yang datang daripada alam ruh, kemudian melalui kubur, seterusnya menuju ke alam akhirat..

 

Manakala beg dan senjata yang dibawa adalah ibadat dan taqwa. Meskipun ibadat kelihatan membebankan pada zahirnya, tetapi pada hakikatnya ia adalah kerehatan dan keringanan yang amat besar sehingga tidak dapat digambarkan. Ini kerana seseorang yang melakukan ibadat berkata di dalam sembahyangnya: (لاإله إلا الله) yang bermaksud tiada tuhan melainkan Allah, iaitu tiada pencipta dan pemberi rezeki melainkan Dia; segala manfaat dan kemudaratan hanya datang daripadaNya; Dia adalah tuhan yang maha bijaksana dan tidak melakukan sesuatu secara sia-sia sebagaimana Dia adalah tuhan yang maha mengasihani, luas kerahmatan dan ihsanNya.

 

Seseorang mukmin percaya dan yakin dengan apa yang diucapkannya. Oleh itu, pada setiap perkara, dia mendapati suatu pintu yang terbuka yang membawanya kepada khazanah rahmat Ilahi. Lalu dia mengetuk pintu tersebut dengan berdoa. Dia melihat segala sesuatu boleh dipergunakan bagi memenuhi arahan tuhannya, lalu dia berlindung kepada tuhannya dengan bertadharru’ kepadaNya semata-mata. Dia bertahan dan berbenteng daripada setiap musibah yang menimpa bersandarkan kepada tawakkal. Lalu keimanan yang dimilikinya mengurniakan keamanan dan ketenangan yang sempurna kepadanya.

 

Ya! Sesungguhnya sumber keberanian sama seperti sumber segala sifat baik yang lain, iaitu iman dan ‘ubudiyyah (perhambaan). Manakala sumber kekecutan sebagaimana segala sifat buruk yang lain adalah kesesatan dan kebodohan.

No Voice