Jika bebola dunia ini pecah dan meletup sekalipun, mungkin ia tidak menakutkan seorang hamba Allah yang mempunyai hati yang bercahaya. Bahkan mungkin dia melihat kepada kejadian tersebut sebagai salah satu perkara ajaib yang dilakukan oleh kudrat Ilahi, lalu dia melihatnya dengan penuh kekaguman dan kenikmatan. Sedangkan seorang fasiq yang mempunyai hati yang mati -meskipun dia adalah seorang ahli falsafah yang dianggap mempunyai akal yang tajam- jika melihat sebuah komet di angkasa, dia akan diselubungi perasaan takut, gementar dan tertanya-tanya dalam keadaan penuh kebimbangan: Adakah komet ini akan berlanggar dengan bumi? Dengan itu dia akan tersembam ke dalam lembah sangkaan. Pada suatu hari, rakyat Amerika pernah mengalami perasaan takut kerana sebiji komet kelihatan di langit, lalu ramai daripada kalangan mereka meninggalkan rumah masing-masing di tengah-tengah kegelapan malam.
Ya! Sekalipun keperluan manusia tidak terbatas, tetapi modalnya boleh dikatakan tiada langsung. Sekalipun dia terdedah kepada musibah yang tidak terbatas, kemampuannya untuk menghadapinya juga boleh dikatakan tiada langsung. Ini kerana modal dan kemampuannya hanya terbatas setakat kawasan yang boleh dicapai oleh tangannya sahaja, sedangkan angan-angan, keinginan, kesakitan dan bala bencana yang dihadapinya adalah seluas pandangan mata dan khayalan.