Manakala tentera yang celaka dan tidak bernasib baik yang mengutamakan untuk tidak terikat dengan peraturan ketenteraan, serta tidak mahu menurut peraturan dan memberikan komitmen, mengambil jalan sebelah kiri. Meskipun badannya terselamat daripada bebanan beberapa paun, tetapi hatinya kepenatan kerana menanggung ribuan paun ungkitan dan kata-kata yang menyakitkan hati. Ruhnya pula terbenam di bawah kebimbangan yang tidak berpenghujung. Oleh itu, dia berjalan dalam keadaan meminta-minta daripada setiap orang yang ditermuinya. Dia berada dalam keadaan takut dan gentar terhadap segala sesuatu, bimbang terhadap segala kejadian. Setelah tiba ke tempat yang dituju, dia pula dihukum dan menerima balasan hasil daripada penderhakaan yang dilakukannya dan pelariannya daripada mengikut peraturan yang ditetapkan.
Manakala tentera yang melalui jalan sebelah kanan, iaitu tentera yang patuh kepada peraturan ketenteraan dan sentiasa menjaga beg dan senjatanya, dia dapat berjalan dalam keadaan hatinya dipenuhi kerehatan dan perasaannya dipenuhi ketenangan, tanpa berpaling ke kiri atau ke kanan untuk meminta-minta daripada sesiapa, atau merasa tamak terhadap apa yang ada pada orang lain, atau takutkan kepada sesiapa.. Apabila dia tiba ke bandar yang dituju, dia menerima ganjaran selayaknya sebagaimana anggota tentera lain yang berjaya melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya.
Wahai jiwa yang cuai dan tidak terpandu!
Ketahuilah bahawa dua orang yang bermusafir itu, salah seorang daripadanya menggambarkan golongan yang tunduk dan patuh kepada undang-undang Ilahi, manakala yang seorang lagi menggambarkan golongan menderhaka yang menuruti hawa nafsu..