“Jalan di sebelah kanan ini, di samping tidak terdapat kesulitan, orang yang melaluinya juga akan memperoleh kerehatan, ketenangan dan keuntungan dengan kadar sembilan persepuluh. Manakala jalan di sebelah kiri pula, di samping ia tidak memberikan sebarang manfaat kepada orang yang melaluinya, ia juga akan memudaratkan mereka dengan kadar sembilan persepuluh juga. Perlu dinyatakan, jarak kedua-dua jalan adalah sama. Perbezaan cuma terdapat pada satu perkara sahaja, iaitu orang yang melalui jalan di sebelah kiri tidak perlu mematuhi sebarang undang-undang kerajaan juga boleh melaluinya tanpa perlu membawa sebarang peralatan dan senjata. Oleh itu, dia boleh melaluinya dengan mudah dan memperoleh kerehatan yang disangkakan pada pandangan zahirnya. Manakala orang yang melalui jalan di sebelah kanan pula yang mengikut peraturan ketenteraan, terpaksa memikul sebuah beg yang besar lengkap dengan bekalan makanan seberat empat oka[1] dan sebuah senjata kerajaan seberat dua oka yang dengannya dia boleh mengalahkan setiap musuh yang mendatang.
Setelah mendengar penerangan yang diberikan penunjuk jalan itu, tentera yang mempunyai nasib yang baik lagi berbahagia mengambil jalan sebelah kanan. Dia terus berjalan sambil memikul bebanan yang berat di atas belakang dan bahunya, namun hati dan ruhnya terselamat daripada ribuan paun daripada bebanan ungkitan dan kebimbangan.
[1]Sejenis timbangan.