Perkataan pendek | Perkataan pendek | 4
(1-69)

“Alangkah gilanya engkau! Sesungguhnya kejahatan yang ada di dalam batin engkau telah tercerna keluar kepada zahir engkau, sehingga engkau menyangka setiap senyuman merupakan jeritan dan air mata serta setiap perlepasan dan percutian sebagai perampasan dan perompakan. Kembalilah kepada kewarasan dan sucikanlah hati engkau… Semoga selaput keras yang menutupi terpelanting daripada kedua kelopak mata engkau… dan semoga engkau dapat melihat hakikat berdasarkan wajahnya yang sebenar. Sesungguhnya tuan punya kerajaan ini berada pada tingkat keadilan, kerahmatan, ketuhanan, kekuasaan, penyusunan dan kelembutan yang tertinggi… Sesungguhnya kerajaan yang berada pada tingkat kemajuan dan ketinggian tersebut yang kesan-kesannya dapat engkau sendiri melihatnya dengan nyata, sudah pasti tidak mungkin sama dengan gambaran yang digambarkan oleh sangkaan engkau itu.”

 

Setelah mendengarkan kata-kata kawannya itu, lelaki yang celaka itu mula berfikir dan kembali kepada kebenaran sedikit demi sedikit. Dia berfikir menggunakan akalnya dan berkata dengan penuh penyesalan:

 

“Ya. Memang aku gila kerana terlalu banyak mengambil minuman arak… Semoga Allah meredai engkau. Engkau telah menyelamatkanku daripada neraka kecelakaan.”

 

Wahai diri!

 

Ketahuilah bahawa lelaki pertama itu adalah seorang kafir atau fasiq yang alpa. Dunia ini pada pandangannya hanyalah sebuah rumah besar untuk meratap dan merintih. Semua hidupan di atasnya adalah anak yatim yang menangis kerana terkena pukulan dan tamparan kehilangan insan tersayang..

 

No Voice