Kalimah Kedua Puluh Satu | Kalimah Kedua Puluh Satu | 24
(1-25)

Bahawa seseorang merasa was-was terhadap kemungkinan yang boleh berlaku sebenarnya (al-imkan al-zati) dan kemungkinan yang boleh berlaku hanya pada fikiran (al-imkan al-zihni), iaitu dia menyangka dengan fikirannya dan mengesyaki dengan akalnya sesuatu yang boleh berlaku pada hakikat sebenarnya. Perlu dinyatakan di sini, terdapat satu kaedah ilmu al-kalam (tauhid) dalam ilmu mantiq yang menjelaskan: “Bahawa kemungkinan yang boleh berlaku sebenarnya (al-imkan al-zati) tidak menafikan keyakinan ilmu. Oleh itu tiada percanggahan antaranya dengan segala ketetapan akal yang diputuskan secara mudah tanpa memerlukan pemikiran yang mendalam.” Untuk menjelaskan perkara di atas, kami mendatangkan contoh berikut:

 

Adalah satu perkara yang berkemungkinan bagi seseorang untuk menyelam di dasar Laut Hitam sekarang. Ini adalah suatu yang mungkin boleh berlaku melalui al-imkan al-zati. Kita juga hendaklah secara yakin memutuskan bahawa laut yang tersebut itu wujud di tempatnya sekarang. Kita tidak ragu-ragu tentang perkara ini sama sekali. Jadi kemungkinan tempat dan kemungkinan ia berlaku itu tidak melahirkan sebarang keraguan dan syak, bahkan ia langsung tidak mencacatkan keyakinan kita itu sama sekali.

 

Contoh lain: Adalah satu perkara yang mungkin berlaku iaitu matahari tidak akan tenggelam hari ini atau matahari tidak akan terbit pada esok hari. Tetapi kemungkinan ini tidak mencacatkan keyakinan kita sama sekali dan tidak menyebabkan sebarang keraguan walaupun sekecil zarrah sekalipun. Maka demikianlah, berdasarkan kedua-dua contoh yang telah dinyatakan di atas, segala sangkaan yang mendatangi al-imkan al-zati terhadap tenggelamnya kehidupan dunia dan terbitnya akhirat yang merupakan hakikat alam ghaib keimanan tidak akan menyebabkan sebarang kecacatan pada keyakinan kita sama sekali. Oleh itu, terdapat kaedah yang masyhur dalam usuluddin dan usul fiqh yang mengatakan: “Tidak diambil kira kemungkinan yang tidak lahir daripada dalil.”

No Voice