Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 125
(1-132)
Atau dengan lain perkataan bahawa manusia yang tenggelam di dalam lautan kelemahan yang mutlak itu memiliki kuasa mutlak seorang sultan!! (Sudah pasti andaian ini adalah amat jauh daripada logik akal, apatah lagi ia mengandungi banyak perkara mustahil yang tidak terbatas).. Atau mungkin pertolongan dan bantuan yang diberikan kepada manusia itu berlaku dengan ilmu seseorang yang amat mengetahui, amat berkuasa secara mutlak yang tersembunyi di sebalik makhluk yang wujud.. Atau dengan lain perkataan bahawa segala makhluk itu tidak mengenali manusia untuk memberikan bantuan kepadanya, tetapi ia adalah tanda-tanda kepada orang yang mengenal manusia tersebut, orang yang merahmatinya dan orang yang mengetahui hal keadaannya.. iaitulah Allah yang maha mencipta lagi maha mengasihani.
Maka wahai manusia!
Kembalilah kepada kewarasan anda! Apakah mungkin, tuhan yang maha mengasihani itu tidak mengetahui dan tidak melihat kepada anda? Sedangkan Dialah yang mendorong segala makhluk yang ada agar membantu dan memenuhi segala keperluan anda?
Oleh kerana Allah swt mengetahui anda, dan menjadikan anda diketahui melalui pelimpahan rahmatNya ke atas anda, anda hanya perlu berusaha untuk mengenaliNya dan berusaha untuk memperlihatkan bahawa anda mengenaliNya dengan membesar dan menghormati segala perintahNya.
Ketahuilah dengan penuh yakin bahawa hanya dengan hakikat rahmat Ilahi yang memuatkan hikmat, perlindungan, ilmu dan qudrat ini sahajalah yang telah menjadikan segala makhluk di dunia ini dipermudahkan untuk anda. Ia menjadikan semua makhluk itu tunduk dan taat kepada anda, sedangkan anda adalah makhluk yang lemah, miskin dan binasa.
Maka rahmat yang agung dan luas sehingga ke batasan ini, sudah pasti menuntut agar anda memberikan kesyukuran yang menyeluruh dan penuh keikhlasan, dan mempersembahkan pengagungan yang suci bersih.
Ketahuilah bahawa kesyukuran menyeluruh dan pengagungan suci bersih itu tidak dapat diterjemahkan dengan sebaik-baiknya melainkan oleh ‘bismillahir rahmanir rahim’. Maka ucapkanlah ‘bismillah’ dan jadikanlah ia sebagai jalan untuk anda mencapai rahmat yang maha luas itu. Jadikanlah ia sebagai pemberi syafaat kepada anda di sisi tuhan yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Ya! Sesungguhnya kewujudan dan keberadaan rahmat adalah lebih jelas dan lebih ketara daripada kewujudan dan keberadaan matahari di perut langit. Jalinan ukiran sesuatu yang cantik jelas kelihatan dengan jejari dan tetulangnya kelihatan tertuju kepada pusatnya dalam keadaan penuh tersusun dan serasi, tertuju dari semua arah kepada pusatnya.. Maka begitu juga dengan bebenang sinaran cahaya yang lahir daripada jelmaan ribuan nama al-asma’ al-husna, yang memanjang kepada alam dunia yang luas ini, yang menenun suatu tenunan yang amat indah dan cantik pada permukaan alam ini, dalam rangka rahmat yang merangkumi, sehingga kelihatan amat jelas bagi akal, lebih jelas daripada matahari bagi mata kepala manusia, sebagai suatu tanda yang jelas bagi al-rahimiyyah (mengasihani), juga sebagai suatu ukiran yang indah bagi kasihan belas dan ihsan, serta sebagai suatu syiar yang permai bagi perlindungan.
No Voice