Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 131
(1-132)
Sebagaimana cermin itu boleh dikatakan sebagai matahari itu sendiri, sebagai isyarat yang menunjukkan betapa terang dan jelasnya cermin itu menunjukkan kepada kewujudan matahari tersebut. Maka demikian juga boleh dikatakan -sebagaimana dinyatakan di dalam hadis- bahawa pada manusia terdapat gambaran ‘al-rahman’, sebagai isyarat yang menunjukkan bahawa manusia adalah tanda jelas yang menunjukkan kepada ‘al-rahman’, dan bagaimana manusia itu amat sesuai dengan nama tersebut dan betapa rapat hubungan manusia denganNya. Oleh itu, golongan berfahaman wihdat al-wujud yang sederhana berkata: “Tiada yang wujud melainkan Allah”, berdasarkan kepada rahsia yang jelas menunjukkan kepada perkara ini dan sebagai tanda yang menunjukkan kesempurnaan kesesuaian di antara manusia dan nama ‘al-rahman’.
Ya Allah! Wahai Rahman! Wahai Rahim! Dengan ‘Bismillahir rahmanir rahim’, rahmatilah kami sebagai selayaknya dengan sifat rahim Engkau! Berikanlah kefahaman kepada kami tentang rahsia-rahsia ‘Bismillahir rahmanir rahim’ sebagaimana selayaknya dengan sifat rahman Engkau. Amin!
Rahsia Keenam:
Wahai manusia yang sentiasa berbolak balik di dalam lautan kelemahan yang tidak bersempadan dan di dalam kefakiran yang tidak berkesudahan! Jika anda mahu memahami bagaimana rahmat merupakan wasilah paling besar dan pemberi syafaat paling diharapkan, maka anda hendaklah mengetahui:
Bahawa rahmat adalah wasilah (jalan) paling kuat untuk sampai kepada sultan agung yang mempunyai kebesaran, yang dipatuhi oleh semua bintang dan atom bersama-sama, sebagai tentera yang penuh taat dan patuh dalam keadaan penuh tersusun.. Sultan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan, tuhan sekalian alam yang tidak memerlukan kepada seluruh makhlukNya, tuhan yang maha besar lagi tidak memerlukan kepada semua yang wujud, sama sekali Ia tidak berhajat kepada semua yang wujud. Bahkan setiap benda tawaduk kepada kebesaranNya, menyerah kepada kekuasaanNya, menjadi hina kepada kemuliaanNya dan tunduk kepada kehebatan kemuliaanNya.. Maka wahai manusia! Rahmat itulah yang meninggikan anda kepada dewan kehadiran tuhan yang mempunyai kekayaan mutlak. Ia juga menjadikan anda sebagai kekasih kepada sultan yang kekal abadi lagi maha agung. Bahkan ia melayakkan anda untuk menerima sapaan dan ucapanNya yang mulia, dan menjadikan anda sebagai seorang hamba yang mulia dan dikasihi di sisiNya.
Tetapi, sebagaimana anda tidak akan sampai kepada matahari kerana kedudukan anda yang jauh daripadanya, bahkan anda tidak boleh mendekatinya pun sama sekali, namun cahayanya menyampaikan anda kepada jelmaannya dan gambarannya melalui perantaraan cermin.. (Dan bagi Allah lah perumpamaan yang tinggi.) Maka meskipun kita berada jauh daripada Allah swt secara mutlak, namun nur (cahaya) rahmatNya dekat dengan kita.
Maka wahai manusia! Sesungguhnya sesiapa yang berjaya memperoleh rahmat ini, maka sesungguhnya dia memperoleh suatu khazanah agung yang tidak akan binasa, suatu khazanah yang dipenuhi dengan cahaya..
No Voice