Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 46
(1-132)
Saya melihat perasaan riyak yang berat, ego yang melampau dan kelalaian sementara tersembunyi di bawah tirai yang menjadi hiasan glamor dan kemasyhuran. Ia merupakan sesuatu yang ideal pada para penggemar glamor dan kemasyhuran. Saya sedar bahawa semua perkara tersebut yang terus menipu saya hingga kini tidak akan memberi apa-apa kegembiraan kepada saya dan tidak mungkin saya akan menemui secebis cahayapun padanya.
Sekali lagi, agar saya sedar daripada kelalaian dan terus meninggalkannya sama sekali, saya mula mendengar sekali lagi kepada para penghafaz al-Quran di Masjid Bayazid untuk menerima pengajaran al-Quran al-Karim dari langit… Pada saat itu, saya mendengar beberapa berita gembira daripada petunjuk langit tersebut melalui arahan dan perintah ketuhanan yang qudus yang terdapat di dalam firman Allah:
 
Maksudnya: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman…” (al-Baqarah: 25)
Melalui limpahan yang saya ambil daripada al-Quran al-Karim, saya mencari kegembiraan dan pengharapan serta cahaya dalam perkara-perkara yang membingung dan menyebabkan saya berada di dalam kekecewaan dan kesunyian. Saya tidak mencari lagi pada tempat yang lain. Saya ucapkan ribuan syukur dan terima kasih kepada Allah tuhan yang maha mencipta lagi maha mulia terhadap tawfiq yang diberikannya sehingga saya berjaya memperoleh penawar daripada penyakit itu sendiri. Juga sehingga saya berjaya melihat cahaya di dalam kegelapan itu sendiri. Juga sehingga saya merasa gembira di dalam kesakitan dan kegerunan itu sendiri.
Lalu saya melihat ke arah wajah yang menggerunkan semua orang dan yang disangkakan amat-amat menakutkan… Iaitulah wajah kematian… Lalu melalui cahaya al-Quran, saya dapati wajah sebenar kematian bagi seseorang yang beriman amat manis dan bercahaya, meskipun tirai yang melindunginya kelihatan gelap, kelam dan menggerunkan. Kami telah buktikan dan jelaskan hakikat ini dengan bukti yang utuh dalam banyak risalah, khususnya pada ‘Kalimah Kelapan’ dan ‘Maktub Kedua Puluh’. Kami telah jelaskan bahawa kematian bukanlah ‘peniadaan abadi’ dan bukan juga ‘perpisahan abadi’. Tetapi ia adalah mukadimah dan permulaan bagi kehidupan yang kekal abadi. Ia adalah pengakhiran kepada bebanan tugasan kehidupan. Ia adalah pelepasan, kerehatan dan pengecualian daripadanya. Ia adalah penggantian satu tempat dengan satu tempat yang lain. Ia adalah penyambungan dan pertemuan dengan gerombolan para kekasih yang telah berangkat ke alam barzakh… Demikianlah kematian. Dengan hakikat inilah, saya melihat wajah kematian manis dan bercahaya. Oleh itu, tidak peliklah jika saya melihat ke arahnya dalam keadaan tidak takut dan tidak gerun. Bahkan saya melihat ke arahnya dengan sedikit perasaan rindu dari satu sudut dan melaluinya saya dapat mengenali satu rahsia daripada ‘ikatan kematian’ yang diamalkan oleh ahli tariqat dan tasauf.
No Voice