Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 47
(1-132)
Kemudian saya memerhatikan zaman muda, lalu saya melihat ia menjadikan semua orang sedih dan berdukacita ketika kehilangannya. Ia juga menjadikan semua orang rindu dan tertarik kepadanya. Ia adalah zaman yang dipenuhi dengan kelalaian dan dosa! Begitulah zaman muda saya! Dari sana, saya melihat suatu wajah yang amat hodoh, bahkan wajah yang mabuk dan membingungkan. Ia dipakaikan dengan pakaian yang bersih dan berhias indah. Jika saya tidak mengerti tentang hakikat zaman muda yang sebenar, nescaya saya akan menangisinya sepanjang hidup saya di atas muka bumi ini, sehingga meskipun saya dilanjutkan usia sehingga seratus tahun. Saya pasti akan menangisi zaman muda yang hanya berlangsung selama beberapa tahun itu dan dipenuhi dengan segala macam kegilaan dan senyuman, sebagaimana dinyatakan oleh seorang penyair yang menangisi zaman mudanya dengan penuh kedukacitaan:

Maksudnya:
Alangkah baiknya jika zaman muda dapat kembali semula, lalu aku memberitahunya tentang apakah yang dilakukan oleh orang tua yang beruban.
Ya, orang-orang tua yang tidak mengetahui tentang rahsia zaman muda akan menghabiskan zaman tua mereka dalam keadaan penyesalan dan tersedu sedan terhadap zaman muda mereka sebagaimana berlaku kepada penyair di atas. Sedangkan jika kesegaran dan kecergasan zaman muda yang berada pada diri seorang mukmin yang tenang, bijaksana dan mempunyai hati yang tenang dan hebat, dan jika kekuatan kemudaan diarahkan kepada ibadat kepada Allah, amalan yang salih dan perniagaan akhirat, maka ia akan menjadi kekuatan kebaikan yang paling besar, wasilah perniagaan yang paling utama dan perantara kebaikan yang paling indah dan lazat.
Ya, memang zaman muda adalah zaman yang amat bernilai dan berharga. Ia adalah nikmat ilahi yang terbesar dan kelazatan yang amat besar bagi sesiapa yang mengenali kewajipan Islamnya dan bagi sesiapa yang tidak menyalahgunakannya. Tetapi jika para pemuda tidak dipandu oleh istiqamah, kehormatan dan taqwa, maka mereka akan lebih hampir kepada kemusnahan, kerana sifat kenakalan dan hawa nafsu yang ada pada diri mereka akan menjejaskan kebahagiannya yang abadi dan kehidupan akhiratnya, malah mungkin kehidupan dunianya turut musnah. Jika ini berlaku, dia akan merasa kesakitan berpanjangan semasa zaman tuanya terhadap sedikit keenakan dan kelazatan yang diperolehinya dalam tempoh beberapa tahun sahaja pada zaman mudanya.
No Voice