Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 50
(1-132)

Masalah Keenam daripada Risalah ‘al-Thamarah’.

Ilmu (Sains) Memperkenalkan Kita Kepada Pencipta

Masalah ini merupakan satu isyarat ringkas kepada satu sahaja daripada ribuan bukti menyeluruh berkenaan keimanan dengan Allah yang telah dijelaskan bersama dengan hujah-hujahnya yang kuat pada beberapa tempat di dalam Rasa’il al-Nur.
Sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah menengah atas di Qastamuni datang menemui saya dan berkata:
“Perkenalkanlah kami kepada Allah, kerana guru-guru kami tidak menyebut tentang Allah kepada kami.”
Lalu saya berkata kepada mereka:
Setiap ilmu yang kamu pelajari sebenarnya sentiasa membicarakan tentang Allah, dan memperkenalkan Tuhan Yang Maha Mencipta itu dengan bahasanya yang tersendiri. Maka dengarlah kepada ilmu-ilmu itu sendiri, bukan kepada guru-gurunya..
Sebagai contoh: Jika terdapat sebuah farmasi yang besar, dan di dalam setiap botol ubatnya pula terdapat pelbagai jenis ubatan dan ramuan mujarab yang dicampur dengan sukatan yang amat teliti, maka sudah pasti keadaan tersebut memperlihatkan kepada kita bahawa di sebalik farmasi tersebut terdapat seorang ahli farmasi dan ahli kimia yang amat mahir dan bijaksana. Maka hal yang sama juga berlaku kepada farmasi bumi ini yang mengandungi lebih daripada empat ratus ribu jenis hidupan sama ada yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Setiap satu daripada hidupan tersebut pada hakikatnya adalah sama seperti sebotol ubat yang mengandungi ramuan kimia yang dicampur dengan penuh ketelitian. Ia juga adalah balang yang digaul di dalamnya pelbagai jenis campuran aktif yang menakjubkan. Farmasi yang besar ini memperlihatkan kepada semua orang hinggakan orang yang buta sekalipun, bahawa ahli farmasinya adalah seorang yang amat bijaksana lagi maha tinggi. Dengan ketinggian tahap kesempurnaan, penyusunan dan keagungannya, farmasi tersebut memperkenalkan kita kepada tuhannya yang maha mencipta lagi maha mulia. Bandingkan keadaan ini dengan farmasi dunia yang kamu jumpai di mana-mana pasar yang kamu pergi, berdasarkan ilmu kedoktoran dan perubatan yang kamu pelajari.
No Voice