Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 53
(1-132)
Contoh lain: Jika terdapat sebuah kitab, pada setiap barisnya ditulis sebuah kitab dengan tulisan yang amat halus dan pada setiap perkataannya ditulis pula sebuah surah daripada al-Quran, yang seluruh permasalahannya mempunyai maksud dan pengertian yang mendalam, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain, maka kitab menakjubkan ini tanpa syak lagi menjelaskan bahawa penulisnya adalah seorang yang amat mahir dan mempunyai keupayaan yang sempurna. Maksudnya, kitab seumpama ini, jika ada, memperkenalkan penulis dan pengarangnya dengan suatu pengenalan yang amat jelas melebihi kejelasan siang hari. Ia juga menerangkan kesempurnaan dan kekuasaannya. Ia juga membangkitkan kekaguman dan penghargaan di sisi orang-orang yang melihatnya sehingga menjadikan mereka hanya dapat mengulang-ulangi perkataan: “Maha berkat Allah, maha suci Allah, apa-apa sahaja yang dikehendaki Allah!” Kata-kata ini diucapkan sebagai menunjukkan kekaguman dan ketakjuban. Maka begitu jugalah keadaannya dengan kitab besar bagi alam maya ini yang pada satu halaman sahaja daripada lembarannya iaitu pada permukaan muka bumi, bahkan pada satu bahagian daripadanya iaitu musim bunga, sebanyak tiga ratus ribu jenis pelbagai kitab, iaitu kumpulan-kumpulan haiwan dan jenis-jenis tumbuhan yang setiap satu daripadanya seumpama sebuah kitab.. Kesemuanya ditulis bersama dan bercampur, tetapi tidak bercampur aduk sehingga sukar membezakannya, tidak tersalah, tidak terlupa, tetapi penuh tersusun dan sempurna, bahkan ditulis pada setiap perkataannya, pada pokok umpamanya, sebuah qasidah sempurna yang indah. Pada setiap noktahnya pula, pada bijian umpamanya, terdapat pula kandungan bagi sebuah kitab yang sempurna. Ini adalah suatu yang dapat disaksikan dan ia terpampang di hadapan kita. Ia memperlihatkan kepada kita dengan pasti bahawa di sebalik segalanya terdapat satu kalam yang laju menulis. Maka anda bolehlah membuat agakan dan anggaran tentang sejauhmana petunjuk kitab alam yang besar dan luas ini yang setiap perkataannya mempunyai makna yang banyak dan hikmat yang pelbagai. Anda juga boleh membuat agakan dan anggaran tentang sejauhmana petunjuk kitab al-Quran yang lebih besar dan berjasad ini iaitu alam ini sendiri terhadap Tuhan Penciptanya dan terhadap kitabNya sendiri, dengan membandingkannya dengan kitab yang telah disebutkan dalam contoh di atas. Ini semua anda boleh lakukan berdasarkan apa yang anda pelajari dalam ilmu hikmat atau seni membaca dan menulis, serta mendasarkannya kepada neraca yang lebih besar dan dengan pandangan yang luas kepada alam yang juga luas. Dengan demikian, anda akan memahami bagaimana Allah Tuhan Yang Maha Mencipta Lagi Maha Agung diperkenalkan melalui kaliamah ‘Allahu Akbar’, bagaimana Dia disucikan dengan kalimah ‘Subhanallah’ dan bagaimana Dia dikasihi oleh kita melalui pujian yang terhasil daripada perkataan ‘Alhamdulillah’.
Demikianlah bagaimana pelbagai jenis ilmu itu menunjukkan kepada Tuhan Pencipta Alam Yang Maha Mulia berdasarkan keterangan yang telah dijelaskan. Ilmu-ilmu tersebut juga memperkenalkan Allah kepada kita berdasarkan nama-namaNya yang baik, dan mengajar kepada kita tentang sifat-sifatNya yang mulia dan sempurna. Ini kerana ilmu-ilmu itu mempunyai neraca pertimbangan yang luas, cermin khusus, mata yang tajam dan tembus serta kaca mata yang mempunyai pengajaran.
No Voice