Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 51
(1-132)
Contoh yang lain: Jika terdapat sebuah kilang hebat lagi menakjubkan berjaya mengeluarkan pelbagai fabrik dan tekstil yang indah dan bermutu tinggi daripada bahan yang sederhana sahaja mutunya, maka sudah tentu ini menunjukkan bahawa di sebalik kilang tersebut terdapat seorang jurutera mekanikal yang hebat. Produk yang dihasilkan oleh kilang tersebut memperlihatkan kepada kita akan hakikat ini. Maka begitu jugalah halnya dengan jentera rabbani yang sentiasa bergerak, iaitu apa yang dinamakan sebagai muka bumi. Ia adalah kilang ilahi yang mengeluarkan ratusan ribu kilang-kilang utama. Pada setiap kilang utama itu pula terdapat ratusan ribu kilang yang cemerlang, yang tidak syak lagi memperkenalkan kita kepada pembuat dan pemiliknya, melalui ukuran dan sukatan ilmu mekanikal yang kamu pelajari. Semua kilang-kilang itu memperkenalkan betapa tingginya tahap kesempurnaan dan keagungan kilang ilahi ini jika hendak dibandingkan dengan mana-mana kilang lain buatan manusia.
Contoh lain: Terdapat sebuah kedai atau gudang besar menyimpan pelbagai jenis bahan makanan. Ribuan jenis makanan dibawa kepadanya dari segenap tempat. Setiap jenis makanan disusun dan diletakkan pada tempatnya yang khusus. Ini sudah pasti menunjukkan bahawa kedai atau gudang besar itu ada pemilik atau pengurusnya. Maka demikian juga halnya dengan gudang agung milik tuhan yang bertugas membekalkan makanan kepada seluruh para makhluk. Dalam masa setahun, kedai atau gudang ini menjalani jarak perjalanan sejauh dua puluh empat ribu tahun, dalam sistem yang amat halus dan teguh. Ia juga merangkumi pelbagai jenis makhluk yang setiap satu jenisnya memerlukan makanan tertentu. Kedai atau gudang ini melalui empat musim, yang membawa musim bunga seperti sebuah trak yang memuatkan ribuan jenis makanan yang dibawanya kepada para makhluk yang memerlukan yang kehabisan makanan mereka pada musim dingin. Kedai atau gudang itu ialah bebola bumi, kapal suci tuhan yang memuatkan ribuan jenis barangan, peralatan dan kotak-kotak bungkusan makanan. Berdasarkan ilmu kehidupan dan perdagangan yang kamu pelajari, gudang atau kedai tuhan ini menunjukkan kepada kedudukan tuan, pemilik dan pentadbirnya, berdasarkan kedudukan kedai dan gudang tersebut, jika dibandingkan dengan kedai dan gudang milik manusia. Pengetahuan kita tentang kedai dan gudang tersebut, memperkenalkan kita kepada tuan dan pemiliknya, serta menjadikan kita mengasihinya.
Contoh lain: Terdapat satu kumpulan besar tentera yang mengandungi empat ratus ribu bangsa dan suku kaum. Setiap bangsa mempunyai jenis makanannya yang tersendiri berbeza daripada yang lain. Begitu juga dengan senjata yang digunakan. Masing-masing mempunyai senjata yang tersendiri. Pakaian yang dipakai juga berbeza daripada satu bangsa kepada bangsa yang lain. Corak latihan yang diterima serta taklimat yang diberikan turut berbeza. Tempoh bertugas dan tempoh bercuti juga berlainan.. Ketua angkatan tentera ini pula berjaya membekalkan makanan, senjata dan pakaian yang diperlukan oleh anggota-anggotanya berdasarkan bangsa yang berbeza-beza itu tanpa terlupa, kesamaran dan kebingungan. Ini sudah pasti menunjukkan beliau adalah seorang ketua yang memiliki keluarbiasaan yang amat tinggi.
No Voice