Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 52
(1-132)
Oleh itu, sebagaimana kumpulan askar yang menakjubkan ini memperlihatkan kepada kita kepada seorang pemimpin yang menakjubkan, bahkan menjadikan kita menyayanginya dengan penuh penghargaan dan kekaguman, maka begitu juga halnya dengan kem askar muka bumi ini. Pada setiap musim bunga, suatu angkatan tentera suci yang besar yang terdiri daripada empat ratus ribu jenis tumbuhan dan haiwan direkrut. Setiap jenis tumbuhan dan haiwan itu diberikan pakaian, makanan, senjata, latihan dan kebenaran yang khusus dan tersendiri oleh seorang ketua agung yang maha esa. Ia dilakukan dengan sempurna dan teliti tanpa kelupaan, kekeliruan dan kebingungan, bahkan dalam keadaan penuh kesempurnaan dan amat tersusun.. Kem askar yang luas bagi musim bunga ini, dan yang terbentang di atas seluruh permukaan bumi ini, memperlihatkan kepada mereka yang mempunyai penglihatan mata hati bahawa di sana terdapat seorang pemerintah bumi, tuhannya, pentadbirnya dan pengurusnya yang maha suci lagi maha tinggi berdasarkan ilmu ketenteraan. Ia juga memperlihatkan sejauhmana kadar kesempurnaan tuannya dengan melihat kepada kesempurnaan kem askar yang menakjubkan itu jika dibandingkan dengan kem askar manusia biasa. Ia juga menjadikan kita mahu mengasihi tuannya dengan banyak melakukan pemujian, penyucian dan tasbih.
Contoh lain: Katakanlah terdapat jutaan lampu elektrik berlegar-legar di sebuah bandar yang menakjubkan tanpa kehabisan minyak dan tidak pernah padam. Tidakkah anda melihat bahawa di sebaliknya sudah pasti terdapat seorang jurutera yang sangat hebat, dan seorang pakar elektrik yang amat pintar sedang mengendalikan kilang pengeluar tenaga elektrik? Maka begitu jugalah keadaannya dengan bintang-bintang yang berjuntai daripada bumbung istana bumi. Bumbung istana bumi itu pula jauh lebih besar daripada bebola bumi ribuan kali ganda menurut ilmu astronomi dan berjalan lebih pantas daripada kelajuan peluru tanpa mencacatkan sistemnya sedikitpun, atau berlanggar sesama sendiri, atau terpadam cahayanya, atau kehabisan sumber tenaganya, sebagaimana yang anda pelajari dalam ilmu astronomi. Dengan jari jemarinya yang bercahaya, lampu-lampu ini menunjukkan kepada kekuasaan (qudrat) penciptanya yang tidak terbatas. Sebagai contoh, matahari yang kita lihat, meskipun ia adalah jauh lebih besar sebanyak jutaan kali jika dibanding dengan bumi dan ia jauh lebih tua dengan jutaan tahun, tetapi ia adalah sebuah lampu yang sentiasa menyala dan dapur yang sentiasa berasap bagi negeri persinggahan milik tuhan al-Rahman. Untuk mengekalkan penyalaan dan pembakarannya setiap hari, memerlukan kepada bahan api sebanyak seluruh lautan di bumi, memerlukan arang sebanyak gunung yang terdapat di bumi, memerlukan kayu api sebanyak berkali-kali ganda besar bumi. Tetapi yang menyalakannya dan menyalakan seluruh bintang-bintang lain yang seumpamanya tanpa bahan api, tanpa arang, tanpa minyak, tanpa terpadam dan yang menjalankannya dengan amat pantas dan laju tanpa berlaku perlanggaran, ia adalah kekuasaan (qudrat) yang tidak berkesudahan dan kesultanan agung yang tidak bersempadan.. Maka alam maya yang luas serta segala lampu yang terdapat padanya, dan lampu-lampunya berjuntai itu, semuanya menjelaskan dengan terang berdasarkan ilmu elektrik yang kamu telah dan akan pelajari tentang raja yang memiliki bilik pameran dan pesta yang agung ini. Ia juga memperkenalkan kepada pemberi cahayanya, pentadbirnya yang indah dan penciptanya yang maha mulia dengan penyaksian segala bintang-bintang yang berkerlipan. Ia juga menjadikan tahmid, tasbih dan taqdis (penyucian) adalah sesuatu yang disukai oleh semua pihak, bahkan mendorong mereka kepada melakukan ibadat kepadanya.
No Voice