Keuntungan pertama: Harta yang akan musnah menjadi kekal, kerana umur manusia yang akan habis yang diberikan kepada tuhan yang maha hidup lagi maha kekal dan dikorbankan pada jalanNya akan bertukar menjadi umur yang abadi dan berkekalan. Ketika itu, minit-minit umur akan membuahkan buahan yang ranum dan bungaan kebahagiaan lagi bersinar di alam kekal sepertimana binasa biji benih pada zahirnya tetapi ia akan melahirkan bungaan dan tangkai yang banyak.
Keuntungan kedua: Harganya ialah syurga.
Keuntungan ketiga: Harga setiap anggota dan pancaindera meningkat dan menjadi mahal seribu kali ganda.
Contohnya: Akal adalah anggota dan alat. Wahai saudaraku! Jika engkau tidak menjualnya kepada Allah dan engkau tidak menggunakannya pada jalan Allah, bahkan engkau menggunakannya pada jalan hawa nafsu, maka ia akan bertukar menjadi anggota yang celaka, mengganggu dan lemah. Kerana ia membebankan engkau dengan segala kesakitan masa lalu yang mendukacitakan dan kedahsyatan masa hadapan yang menakutkan. Ketika itu, ia bertukar menjadi alat yang memudaratkan dan mencelakakan. Bukankah engkau dapat melihat bagaimana seseorang fasiq melarikan diri daripada realiti kehidupannya dan tenggelam dalam permainan, hiburan atau kemabukan demi menyelamatkan dirinya daripada gangguan-gangguan akalnya? Tetapi apabila akal dijual kepada Allah, dan digunakan pada jalanNya dan demi keranaNya, maka ia akan menjadi anak kunci yang indah kerana ia dapat membuka khazanah rahmat Ilahi dan hikmat rabbani yang tidak terbatas. Kemana sahaja seseorang memandang, atau apa sahaja yang difikirkannya, maka dia akan dapat melihat hikmat Ilahi dalam semua perkara, dalam semua kewujudan dan dalam semua kejadian. Dia juga dapat menyaksikan rahmat Allah terjelma di atas seluruh kewujudan. Dengan itu, akalnya meningkat kepada martabat seorang mursyid yang rabbani yang menyediakan tuannya untuk memperoleh kebahagiaan yang berkekalan.