Perkataan pendek | Perkataan pendek | 30
(1-69)

Contohnya lagi: Mata adalah salah satu pancaindera. Melaluinya, ruh dapat menjenguk dan melihat alam maya ini. Jika engkau tidak menggunakannya pada jalan Allah, bahkan engkau menggunakannya demi memenuhi tuntutan hawa nafsu, iaitu dengan melihat beberapa pemandangan yang keindahannya adalah sementara dan akan hilang tidak lama selepas itu, maka pancaindera itu akan bertukar menjadi khadam dan orang tengah yang hina bagi membangkitkan syahwat hawa nafsu. Tetapi jika engkau menjualnya kepada tuhan yang menciptanya iaitu tuhan yang maha melihat dan engkau menggunakannya pada perkara yang diredai olehnya, ketika itu mata engkau melihat dan membaca buku alam yang luas ini, serta menyaksikan mukjizat buatan rabbani di alam kewujudan. Ketika itu ia seolah-olah adalah lebah yang berada antara bunga rahmat ilahi dalam kebun di bumi. Lalu daripada madu pengiktibaran dan kasih sayang, tertitislah cahaya penyaksian ke dalam hati seorang mukmin.

 

Contohnya lagi: Jika engkau tidak menjual deria rasa yang berada pada lidah kepada penciptanya yang maha bijaksana, dan anda gunakannya demi memenuhi perut dan nafsu, ketika itu, engkau akan terhumban ke dalam lubang kilang dan kandang perut, lalu nilainya akan menurun. Tetapi jika engkau menjualnya kepada tuhan pemberi rezeki lagi maha pemurah, maka kedudukannya akan meningkat hingga ke darjat seorang nazir yang mahir bagi khazanah rahmat ilahi dan penjaga yang bersyukur terhadap dapur qudrat ilahi.

 

Wahai akal! Sedarlah. Di manakah kedudukan alat yang celaka itu jika dibandingkan dengan kunci khazanah alam semesta ini?

 

Wahai mata! Lihatlah baik-baik. Di manakah kedudukan broker yang keji itu jika dibandingkan dengan peluang untuk memandang dan melihat ke dalam perpustakaan ilahi?

No Voice