Perkataan pendek | Perkataan pendek | 40
(1-69)

Dari sini, orang yang sempurna imannya mendapati dalam kelemahan dan ketakutan suatu kelazatan yang mengatasi mana-mana kelazatan lain, sehingga mereka benar-benar membersihkan diri mereka hanya kepada Allah daripada segala kekuatan dan kemampuan mereka sendiri. Mereka juga berlindung daripada kelemahan mereka dengan bergantung hanya kepada Allah, serta mereka meminta perlindungan hanya daripadaNya sahaja. Mereka mempersembahkan kelemahan dan ketakutan ini sebagai wasilah dan pemberi syafaat kepada mereka di sisi Allah yang maha mencipta lagi maha agung.

 

Manakala rawatan yang kedua ialah doa dan permintaan, kemudian qana’ah (berpada dengan apa yang ada) dengan pemberian, bersyukur dan thiqah (yakin) dengan kerahmatan Allah yang maha memberi rezeki dan lagi maha mengasihani.

 

Apakah benar demikian?

 

Ya! Sesiapa yang menjadi tetamu kepada Tuhan yang menghamparkan permukaan bumi sebagai hidangan yang dipenuhi dengan pelbagai kenikmatan, dan menjadikan musim bunga seperti jambakan bunga mawar indah yang diletakkan bersebelahan dengan hidangan yang beraneka itu, bahkan bunga-bungaan itu dihambur-hamburkan ke atas hidangan tersebut, jadi sesiapa yang menjadi tetamu kepada Tuhan yang maha pemurah dan maha mulia ini, maka bagaimana sifat kefakiran dan keberhajatan kepadaNya menjadi suatu yang menyakit dan memberatkan..? Bahkan tetamu itu menjadikan sifat kefakiran dan keberhajatan kepadaNya sebagai pendorong untuk mengambil dan menggunakan segala kenikmatan yang ada. Dengan itu, dia akan berusaha untuk menambah besarkan sifat keberhajatannya sama seperti seorang yang berusaha untuk menambahkan perasaan seleranya. Di sinilah tersembunyi sebab kebanggaan dan kemuliaan mereka yang mencapai darjat kesempurnaan terhadap sifat kefakiran terhadap Allah swt.. (Tapi perlu diingatkan agar anda tidak salah faham terhadap sifat kefakiran yang kami maksudkan. Ia adalah perasaan manusia yang merasa fakir atau berhajat kepada Allah swt, tadarru’ kepadaNya sahaja dan hanya membuat permintaan daripadaNya sahaja. Ia bukanlah bermaksud menzahirkan keberhajatan kepada manusia, menghinakan diri di hadapan mereka dan meminta-minta sedekah daripada mereka!)

No Voice