Apakah dia hakikat dunia? Apakah peranan manusia di dalamnya? Apakah nilai agama di sisi manusia? Benarkah jika tidak kerana agama yang benar ini nescaya dunia akan bertukar menjadi penjara yang menakutkan? Benarkah manusia yang mulhid adalah makhluk yang paling celaka? Benarkah dengan mengucapkan “Ya Allah, tiada tuhan melainkan Allah” dapat menyelesaikan masalah dan teka teki dunia yang membingungkan serta menyelamatkan ruh kemanusiaan daripada kegelapan? Ya, jika anda ingin memahami semua itu, maka dengarlah cerita hikayat yang ringkas di bawah dan berfikirlah tentangnya:
Pada masa dahulu, terdapat dua orang bersaudara yang keluar bersama-sama dalam satu perjalanan yang panjang. Mereka meneruskan perjalanan sehingga tiba di satu persimpangan. Mereka ternampak seorang lelaki yang hebat lalu bertanya: “Jalan manakah yang lebih baik?”
Lelaki itu menjawab: “Jika kamu mengikut jalan sebelah kanan, maka kamu terpaksa mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Tetapi jalan ini memang aman dan selamat. Manakala jika kamu mengikut jalan sebelah kiri, maka kamu adalah bebas daripada sebarang ikatan, tetapi di sebalik kebebasan tersebut terdapat kemusnahan dan kecelakaan. Sekarang kamu boleh memiilih untuk melalui mana-mana jalan yang kamu kehendaki.”
Selepas mendengar jawapan yang diberikan oleh lelaki tersebut, salah seorang daripada dua orang bersaudara itu, yang bertabiat baik, melalui jalan sebelah kanan dan berkata: “Saya bertawakkal kepada Allah.” Dia meneruskan perjalanannya dalam keadaan redha untuk mematuhi segala undang-undang dan peraturan. Manakala saudaranya yang tergoda dan terpedaya menggunakan jalan sebelah kiri kerana mahu mengikut keinginan hawa nafsunya yang inginkan kebebasan.