Ketika hati lelaki tersebut menangis, ruhnya menjerit dan akalnya kebingungan terhadap keadaan genting yang sedang dialaminya, tiba-tiba nafsunya yang bersifat sentiasa mahu melakukan kejahatan menyambar dan menelan dengan lahapnya buah-buahan yang terdapat pada pokok tersebut dengan mengenepikan segala yang berada di sekitarnya ketika itu, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Dia menutup telinganya daripada mendengar jeritan hati dan laungan jiwanya dengan menipu dirinya sendiri. Dia tetap menelan buah-buahan tersebut meskipun sebahagian daripadanya adalah terdiri daripada buah-buahan yang beracun dan memudaratkan.
Demikianlah kita dapat melihat bagaimana lelaki yang celaka itu diperlakukan sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud “Aku adalah sebagaimana sangkaan hambaku terhadapku”,[1] iaitu “Aku akan memperlakukan hambaku sebagaimana dia mengenali diriku”. Dia telah diperlakukan begitu, maka demikian jugalah dia akan diperlakukan selepas ini. Bahkan pasti dia akan melihat dia akan diperlakukan demikian sebagai balasan terhadap sangkaannya bahawa apa yang disaksikannya adalah perkara biasa yang berlaku tanpa sengaja, tanpa hikmah dan seolah-olah ia adalah kebenaran semata-mata. Dia beranggapan demikian kerana sangkaannya yang buruk dan kebodohannya sendiri. Maka dia akan berbalik-balik dalam neraka azab dan dia tidak mampu untuk mati demi menyelamatkan dirinya dan tidak mampu juga untuk menjalani kehidupan yang bahagia.
Sekarang mari kita tinggalkan lelaki yang celaka tersebut terus berada dalam keazabannya untuk kita melihat pula apakah yang berlaku kepada lelaki yang seorang lagi.
[1]al-Bukhari, Tauhid, 15; Muslim, al-Tawbah, 1, al-Tarmizi, al-Da’awat, 132.