Lelaki yang diberkati dan mempunyai akal yang waras itu terus menerus berjalan tanpa menghadapi sebarang kesempitan sebagaimana saudaranya. Ini adalah kerana dia hanya berfikir tentang perkara-perkara yang indah kerana dia memiliki tabiat yang indah. Khayalannya hanya menerawang kepada perkara-perkara yang baik dan indah sahaja. Kerana itulah, dia merasa senang dengan dirinya dan tidak menemui sebarang kesulitan dan kesempitan sebagaimana saudaranya. Dia juga mengetahui tentang peraturan dan menjalankan tugasnya sesuai dengan tuntutan kesetiaan dan kepatuhan terhadap peraturan tersebut. Dia melihat segala perkara dipermudahkan baginya. Dia terus berjalan dalam keadaan bebas dengan mendapat naungan keamanan dan kestabilan. Demikianlah keadaannya ketika dia meneruskan perjalanan sehingga beliau menemui sebuah taman yang mempunyai bunga-bungaan yang indah dan buah-buahan yang lazat. Di situ juga terdapat bangkai-bangkai binatang dan sampah sarap yang busuk serta bertaburan di sana-sini disebabkan ketiadaan langkah-langkah kebersihan yang diambil. Saudaranya juga pernah memasuki ke dalam taman seumpama itu sebelum ini, tetapi saudaranya itu hanya menumpukan penglihatannya kepada bangkai tersebut sehingga menyebabkannya loya dan pening kepala. Lalu saudaranya itu terus keluar dari taman tersebut tanpa sempat merehatkan dirinya di situ sebelum meneruskan perjalanan. Tetapi dia yang menggunakan kaedah ‘lihatlah hanya kepada perkara yang paling baik’, tidak menghiraukan bahkan tidak berpaling kepada bangkai tersebut sama sekali. Bahkan dia hanya mengambil manfaat daripada segala perkara yang baik dan buah-buahan yang lazat di dalam taman tersebut. Setelah merehatkan diri secukupnya di situ, dia meneruskan perjalanan.