Perkataan pendek | Perkataan pendek | 47
(1-69)

Sebagaimana saudaranya, dia juga turut melalui satu padang pasir yang luas terbentang. Tiba-tiba, dia mendengar suara seekor singa yang mahu menyerangnya. Dia ketakutan, namun tahap ketakutannya adalah kurang jika dibandingkan dengan tahap ketakutan saudaranya, kerana dia berfikir melalui sangkaan baiknya dan keindahan pemikirannya, lalu dia berkata: “Sudah pasti padang pasir ini ada pemerintahnya. Jadi singa ini mungkin adalah khadam setia yang berada di bawah penguasaan pemerintah tersebut..” Dengan demikian dia kembali merasa tenang, tetapi dia tetap melarikan diri sehingga bertemu sebuah perigi usang sedalam enam puluh hasta, lalu dia terjun ke dalamnya. Pada pertengahan perigi tersebut dia sebagaimana saudaranya berpaut pada sebatang pokok dan dia tergantung di situ. Dia ternampak dua ekor binatang sedang memotong kedua-dua batang pokok tersebut yang terdapat pada dinding perigi sedikit demi sedikit.. Dia memandang ke atas lalu ternampak singa. Dia melihat ke bawah lalu terpandang seekor ular yang amat besar. Dia melihat kepada dirinya sendiri, lalu didapati dirinya berada dalam situasi yang amat ganjil. Dia merasa bingung sebagaimana saudaranya, tetapi tahap kebingungannya adalah seribu kali lebih rendah jika dibandingkan dengan kebingungan yang dialami oleh saudaranya. Ini kerana keelokan keperibadian dan kewarasan pemikirannya hanya memperlihatkan perkara-perkara yang indah sahaja kepadanya. Lantaran itulah dia berfikir di dalam hatinya: “Segala perkara yang ajaib dan membingungkan ini saling mempunyai kaitan antara satu sama lain. Seolah-olah terdapat seorang pemerintah yang memerintahkan ia bergerak. Dalam segala kejadian yang membingungkan ini, sudah pasti terdapat suatu rahsia yang tersembunyi dan teka teki yang tidak terbongkar. Ya! Segalanya adalah kembali kepada perintah seorang pemerintah yang tersembunyi. Oleh itu, saya sebenarnya tidak sendirian. Bahkan pemerintah yang tersembunyi itu sedang melihat, menjaga dan menguji saya. Kerana hikmat yang tertentu, dia membawa saya ke suatu tempat dan memanggil saya ke sana.” Terbetik di dalam hatinya rasa keinginan hasil daripada pemikirannya yang indah dan rasa takutnya yang dipenuhi kelazatan, keinginan yang membangkitkan satu persoalan: “Siapakah dia gerangan orang yang mahu mengujiku dan mahu memperkenalkan dirinya kepadaku? Siapakah dia gerangan orang yang membawa saya ke jalan yang ajaib ini bagi mencapai satu matlamat tertentu?” Kemudian lahir daripada rasa keinginan untuk mengetahui, rasa cinta kepada empunya teka teki itu. Lahir pula daripada rasa cinta itu, rasa ingin untuk menyelesai dan menguraikan teka teki tersebut. Lahir pula daripada perasaan tersebut, perasaan redha untuk berada dalam kedudukan yang indah dan diterima oleh empunya teka teki tersebut sebagaimana kehendak dan kesukaannya.

No Voice