Oleh itu, dia tidak berhak untuk dikasihani dan dia juga tidak mempunyai hak untuk mengadu. Bandingannya samalah dengan seorang lelaki yang sedang berada di tengah-tengah orang-orang yang dikasihinya, pada musim panas, dalam taman yang indah dan permai, menghadiri satu jamuan yang menggembirakan. Namun lantaran sifatnya yang tidak berpada dan berpuas hati dengan apa yang ada, dia meneguk beberapa gelas arak (ibu segala maksiat) sehingga menjadikannya seorang yang mabuk dan khayal. Setelah itu, dia mula menjerit, memekik dan menangis, kerana menyangka dirinya sedang berada dalam musim dingin yang menusuk tulangnya. Dia juga menyangka dirinya sedang berada dalam kelaparan dan bertelanjang di tengah-tengah haiwan-haiwan yang buas. Maka orang yang seumpama ini tidak berhak untuk dikasihani dan dirahmati, kerana dia menzalimi dirinya dengan dirinya sendiri dan menyangka kawan-kawannya sebagai binatang buas serta dia menghina mereka… maka demikian jugalah lelaki yang tidak bernasib baik itu.
Tetapi lelaki yang bernasib baik itu dapat melihat kebenaran. Kebenaran itu sendiri adalah indah. Di samping dia dapat melihat keindahan kebenaran, dia juga menghormati kesempurnaan tuan punya hakikat kebenaran tersebut dan memandang hebat kepadanya, lantaran itu dia berhak mendapat rahmatNya.
Oleh itu, ketahuilah salah satu rahsia daripada rahsia-rahsia yang terdapat dalam ayat 79, surah al-Nisa’:
مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنْ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ
Maksudnya: “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah daripada Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah daripada (kesalahan) dirimu sendiri.”