Jika anda banding segala perbezaan-perbezaan ini dan yang seumpamanya, maka anda akan ketahui bahawa jiwa al-ammarah bi al-su’ yang terdapat pada diri lelaki pertama telah mendatangkan kepadanya neraka jahannam yang maknawi. Manakala lelaki yang kedua pula, lantaran niat, sangkaan dan fikirannya yang baik, telah mencapai limpahan kebahagiaan dan nikmat yang melimpah ruah.
Wahai jiwaku! Wahai sesiapa yang turut mendengar kisah ini bersama saya!
Jika anda tidak ingin menjadi seperti lelaki yang tidak bernasib baik itu, sebaliknya anda ingin menjadi seperti lelaki yang bernasib baik itu, maka dengar dan perhatikanlah al-Quran. Tunduklah kepada hikmat kebijaksanaannya. Berpegang teguhlah dengannya dan beramallah dengan hukum hakamnya.
Jika anda telah memahami segala hakikat yang terdapat dalam kisah ini, maka anda akan dapat melaksanakan segala hakikat keagamaan, keduniaan, kemanusiaan dan keimanan keseluruhannya. Saya hanya akan memberitahu kepada anda perkara-perkara asas sahaja. Anda sendiri hendaklah mengeluarkan perkara-perkara cabangannya!