Orang yang berakal ialah orang yang beramal berdasarkan kaedah ‘ambillah apa yang jernih dan tinggalkanlah apa yang keruh.’ Dengan itu dia dapat meneruskan perjalanan dengan hati yang sejahtera dan perasaan yang tenang.. Padang pasir itu pula ialah dunia ini.. Singa itu pula ialah ajal kematian.. Perigi itu pula ialah jasad manusia dan tempoh masa kehidupan.. Manakala kedalaman perigi itu yang mencapai enam puluh hasta adalah isyarat kepada umur kebiasaan manusia, iaitu enam puluh tahun. Pohon itu pula ialah tempoh umur dan kehidupan.. Dua ekor binatang itu pula yang berwarna putih dan hitam adalah malam dan siang.. Manakala ular itu pula ialah mulut kubur yang terbuka ke arah alam barzakh dan beranda akhirat. Cumanya, bagi si mukmin mulut itu adalah pintu yang terbuka daripada sebuah penjara kepada sebuah taman.. Manakala serangga-serangga yang berbisa itu pula ialah musibah-musibah dunia. Cumanya bagi si mukmin, ia adalah sama seperti teguran-teguran dan sapaan-sapaan Ilahi yang manis agar dia tidak alpa dan lalai.. Manakala makanan-makanan pokok tersebut pula adalah nikmat-nikmat keduniaan yang dijadikan Allah swt sebagai indeks dan pengingat kepada nikmat-nikmat akhirat nanti yang hampir serupa dengannya. Ia dijadikan oleh Allah swt sebagai sampel dan contoh untuk menarik pelanggan agar mendatangi buah-buahan syurga. Manakala keadaan pokok tersebut yang mengeluarkan pelbagai jenis buah-buahan adalah sebagai isyarat untuk menunjukkan kepada tanda-tanda kekuasaan Allah, cop mohor ketuhanan dan kod kebesaran ilahi yang mencipta dan menjadikan segala sesuatu hanya daripada yang satu. Iaitu Allah mencipta seluruh tumbuh-tumbuhan dan buah-buahannya daripada tanah yang sama. Allah mencipta seluruh binatang daripada air yang sama. Allah mencipta segala peralatan yang terdapat dalam tubuh haiwan daripada makanan yang sederhana. ‘Membuat satu benda daripada semua benda’ sama seperti membina daging tertentu dan kulit yang sederhana bagi sesuatu yang hidup daripada pelbagai jenis makanan.. merupakan tanda kekuasaan khusus Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi tempat pergantungan. Ia juga adalah cop mohor yang khusus untuk raja azali dan kod penunjuk yang sama sekali tidak boleh ditiru dan dipalsukan.