Ya! Penciptaan segala benda daripada benda yang satu dan penciptaan semua benda daripada benda yang satu, hanya menjadi ciri khusus bagi tuhan yang maha mencipta sahaja.. Ia juga hanya menjadi alamat dan tanda yang diperuntukkan khusus untuk Allah yang maha berkuasa melakukan segala sesuatu. Manakala jampi itu pula adalah rahsia hikmat penciptaan yang hanya dapat dibuka dan dibongkar melalui rahsia keimanan.
Manakala kunci itu pula ialah ‘la ilaha illa huwa al-hayy al-qayyum’, ‘ya allah’ dan ‘la ilaha illa allah’.
Pertukaran mulut ular menjadi pintu taman adalah lambang bahawa kubur adalah penjara keseorangan, kelupaan, kealpaan dan kesempitan. Ia sama seperti perut ular bagi ahli kesesatan dan pelampauan. Tetapi bagi ahli iman dan al-Quran, ia adalah pintu yang terbuka seluas-luasnya daripada penjara dunia kepada taman yang kekal abadi, daripada medan ujian kepada taman-taman syurga, daripada kesesakan kehidupan kepada rahmat tuhan yang al-Rahman.. Manakala pertukaran singa yang buas menjadi kuda yang mudah ditunggang dan khadam yang jinak adalah isyarat kepada bahawa kematian bagi ahli kesesatan merupakan perpisahan abadi yang menyakitkan dengan semua para kekasih. Ia juga adalah keluar daripada syurga keduniaan yang dusta kepada keseorangan berada di dalam penjara kubur. Ia juga adalah kesesatan berada di padang yang tidak berpenghujung. Manakala bagi ahli hidayah dan ahli al-Quran, ia adalah perjalanan menuju dunia yang lain. Ia adalah cara untuk bertemu dengan para kekasih dan teman-teman lama. Ia juga adalah jalan untuk memasuki tanah air sebenar dan rumah kebahagiaan abadi. Ia juga adalah jemputan mulia untuk berpindah daripada penjara dunia kepada taman-taman syurga. Ia juga adalah masa menunggu untuk menerima upah dan ganjaran terhadap khidmat yang telah dilaksanakan sebagai pemberian daripada Allah yang Rahman dan Rahim. Ia juga adalah pelepasan dan pengecualian daripada segala tugas kehidupan dan percutian daripada melakukannya. Ia juga adalah perisytiharan berakhirnya kewajipan ber’ubudiyyah, tempoh peperiksaan dan taklimat.