Perkataan pendek | Perkataan pendek | 44
(1-69)

Secara khayalan, marilah kita ikuti perjalanan si lelaki yang melalui suatu jalan yang pada zahirnya kelihatan senang dan ringan tetapi pada hakikatnya ia adalah jalan yang dipenuhi dengan bebanan dan kepayahan. Sebaik sahaja dia melepasi lembah yang dalam dan tanah tinggi yang memuncak dan bengkang bengkok, tiba-tiba dia sampai di tengah-tengah padang pasir yang sunyi dan menyeramkan. Tiba-tiba dia mendengar suatu suara yang menggerunkan. Dia juga melihat seekor singa yang besar dalam keadaan marah sedang menuju pantas kepadanya. Lalu dia melarikan diri dalam keadaan menggeletar ketakutan. Tiba-tiba dia melihat sebuah perigi usang sedalam enam puluh hasta lalu dia terjun demi untuk menyelamatkan dirinya. Ketika jatuh ke dalam perigi itu, tangannya tersentuh sepohon pokok lalu dia berpaut padanya. Pokok itu mempunyai dua batang yang tumbuh daripada dinding perigi dan pada setiap batang terdapat seekor tikus, seekor berwarna putih dan seekor lagi berwarna hitam. Kedua-dua ekor tikus itu sedang menggigit kedua-dua batang pokok dengan giginya yang tajam. Dia memandang ke atas ke arah mulut perigi, lalu dia nampak singa tersebut sedang berdiri memandang ke arahnya. Dia memandang ke bawah lalu dia nampak seekor ular yang amat besar dalam jarak tiga puluh hasta sedang mengangkat kepala mahu menghampirinya. Ular itu mempunyai mulut yang besar seluas mulut perigi tersebut. Di sekelilingnya pula, dia ternampak banyak serangga yang bersengat dan berbisa. Dia melihat kepada bahagian atas pokok, lalu dia ternampak bahawa ia adalah pokok buah tin tetapi dalam keadaan yang menakjubkan pokok tersebut mengeluarkan pelbagai jenis buah-buahan seperti buah badam dan juga buah delima.

 

Lantaran kejahilan dan kebodohannya, lelaki tersebut tidak memahami bahawa keadaan yang dialaminya itu bukanlah suatu keadaan biasa. Tidak mungkin semua perkara tersebut berlaku secara kebetulan tanpa disengajakan. Dia tidak faham bahawa dalam segala perkara yang menakjubkan itu terdapat pelbagai jenis rahsia yang ganjil dan bahawa di sebalik segalanya itu ada seseorang yang mengatur dan menjalankannya.

No Voice