Wahai jiwaku yang menangisi terhadap apa yang diketawakan pada masa mudanya. Ketahuilah! Bahawa tentera yang tidak ketahuan dan kebingungan itu ialah engkau sendiri, iaitu manusia.. Singa itu pula ialah ajal kematian.. Tali gantung itu pula ialah kematian, kehilangan dan perpisahan yang dirasai oleh setiap jiwa.. Tidakkah engkau melihat bagaimana setiap orang yang kita kasihi berpisah daripada kita seorang demi seorang, siang dan malam.. Manakala dua luka yang dalam itu pula, salah satu daripadanya ialah kelemahan manusia yang tidak bersempadan dan amat mengganggu, dan yang satu lagi ialah kefakiran manusia yang tidak berkesudahan dan amat menyakitkan.. Pembuangan daerah dan perjalanan panjang yang ditempuhi itu pula ialah perjalanan ujian dan bala bencana yang panjang bagi manusia yang bertolak daripada alam ruh, kemudian melalui rahim ibu, daripada zaman kanak-kanak, remaja dan zaman tua, dan daripada dunia kemudian daripada kubur dan barzakh, dan daripada hari perhimpunan dan titian al-sirat.. Dua jampi itu pula ialah keimanan kepada Allah dan hari akhirat. Ya, sesungguhnya dengan jampi yang suci ini, kematian yang berada dalam bentuk singa itu bertukar kepada bentuk kuda yang mudah digunakan, bahkan mungkin ia bertukar menjadi buraq yang mengeluarkan manusia daripada penjara dunia kepada taman-taman syurga, iaitu kepada taman-taman Tuhan yang maha penyayang lagi mempunyai kebesaran. Berdasarkan alasan inilah, golongan al-kamilun (orang yang sempurna) amat menyintai kematian dan memintanya, kerana mereka telah melihat hakikatnya. Kemudian perjalanan zaman dan berlalunya masa terhadap segala sesuatu, serta kesan kehilangan, perpisahan, kematian dan kewafatan telah diubah oleh jampi keimanan ini menjadi gambaran yang bersinar dan mendorong manusia untuk melihat pemandangan yang baru pada setiap perkara. Bahkan ia menjadi punca pemerhatian kepada pelbagai jenis mukjizat penciptaan oleh Tuhan yang maha mencipta lagi maha mempunyai kebesaran dan kudratnya yang luar biasa. Serta penjelmaan rahmat Allah swt dan penyaksiannya dengan penuh kenikmatan dan kegembiraan yang sempurna. Ia sama seperti apa yang digambarkan oleh cermin yang membalikkan warna-warna cahaya matahari lalu mengubah gambar pada layar panggung wayang sehingga kelihatan begitu amat menarik dan indah.