Kalimah Kedua Puluh Satu | Kalimah Kedua Puluh Satu | 15
(1-25)

Wahai saudaraku yang diuji dengan penyakit was-was! Adakah engkau tahu, was-was engkau itu sama dengan apa? Ia sebenarnya hampir-hampir sama dengan musibah. Ia bermula dalam keadaan kecil, kemudian ia akan membesar sedikit demi sedikit menurut sejauhmana engkau mengambil berat dan memberikan perhatian terhadapnya. Ia juga akan hilang dan terhapus menurut sejauhmana engkau mengabaikannya dan tidak menghiraukannya. Oleh itu, ia akan menjadi besar jika engkau merasa ia besar dan kecil jika engkau memandangnya kecil. Jika engkau merasa bimbang terhadapnya, ia akan memijak engkau dan memutarkan kepala engkau dengan pelbagai penyakit. Jika engkau tidak bimbang terhadapnya, ia akan menghilang dan bersembunyi. Jika engkau tidak mengetahui hakikat ini, ia akan berterusan dan menjadi kuat. Tetapi jika engkau mengetahui hakikatnya secara mendalam, ia akan mengecil bahkan seterusnya menghilang. Jika demikianlah keadaannya, saya akan menerangkan kepada anda lima bentuk yang banyak berlaku. Saya berharap dengan membuat penjelasan tentangnya dengan pertolongan Allah, ia akan menjadi penawar kepada hati kita, kerana kejahilan akan menjadikan kita was-was, sedangkan dengan ilmu sebaliknya akan menghalang daripada berlaku keburukannya. Jika anda jahil tentangnya, ia akan datang dan mendekati anda. Tetapi apabila anda mengenalinya, ia akan berundur dan melarikan diri.

 

Bentuk Pertama:

 

Pertamanya syaitan akan melemparkan kekeliruannya ke dalam hati. Kemudian dia akan memerhatikan kesannya yang mungkin berlaku di dalam jiwa manusia. Jika was-was tersebut diingkarkan oleh hati, ia akan bertukar daripada kekeliruan kepada celaan dan makian. Syaitan menggambarkan khayalan sesuatu yang menyerupai celaan terhadap lintasan hati yang keji dan bisikan yang bercanggah dengan adab yang menjadikan hati tertekan di bawah tekanan kekecewaan lalu ia menjerit: “Alangkah kecewanya! Alangkah besar musibah yang menimpa!” Ia menyangka bahawa hatinya telah melakukan dosa dan telah melakukan satu kesalahan besar terhadap Tuhannya yang maha mulia. Ia juga merasa kucar kacir, beremosi dan gelisah, lalu terlepas daripada ikatan sakinah dan ketenangan malahan cuba untuk tenggelam di dalam lubuk kealpaan.

No Voice