Jika pengertian yang terlintas adalah bersih dan suci, dan gambaran atau pakaian adalah kotor dan cemar, maka sebenarnya tidak berlaku pemakaian dan penutupan ketika itu. Tetapi ia hanyalah sentuhan sahaja. Sebab itulah, seorang yang was-was kadang-kadang merasa keliru antara sentuhan dengan pemakaian atau penutupan, lalu dia akan berkata kepada dirinya: “Alangkah celakanya! Hatiku telah terjerumus ke lembah kebinasanaan. Kerendahan dan kehinaan jiwa menjadikan aku termasuk ke dalam golongan yang terpinggir daripada rahmat Allah.” Dengan itu, syaitan mengambil peluang daripada perasaan yang sensitif ini secara berleluasa.
Ubat atau penawar kepada luka yang dalam ini ialah:
Najis yang berada di dalam perut anda tidak memberikan kesan dan tidak membatalkan sembahyang yang anda lakukan, bahkan memadai jika anda hanya melakukan taharah yang berbentuk luaran dan jasmani sahaja. Begitu juga dengan pengertian-pengertian keji dan buruk yang tertempel pada pengertian-pengertian yang suci dan kudus. Contohnya:
Mungkin anda sedang melakukan tadabbur (pemerhatian) terhadap salah satu ayat al-Quran. Tiba-tiba anda didatangi oleh satu perkara yang merangsang anda seperti sakit yang bersangatan atau terasa mahu membuang air besar atau air kecil. Ia merempuh masuk ke dalam khayalan anda dengan kuat. Tidak syak lagi, sudah pasti khayalan anda akan terdorong untuk berfikir tentang ubat kepada sakit yang anda alami atau bagaimana mahu membuang air besar atau air kecil, iaitu menggambarkan gambaran-gambaran yang rendah dan keji. Dengan itu, pengertian-pengertian tinggi yang sedang berlegar dalam tadabbur anda telah dicelahi oleh khayalan-khayalan yang rendah.
Biarkanlah ia! Tiada sebarang kemudaratan, kekotoran dan bahaya. Yang bahaya ialah jika anda menumpukan perhatian padanya dan menyangka ia mengandungi bahaya.