Keadaan Keempat:
Iaitu sejenis was-was yang terbit daripada sikap keras yang melampau ketika mencari kesempurnaan amalan yang paling tinggi. Ketika sikap ini bertambah meskipun atas alasan taqwa dan warak, maka keadaannya akan bertambah buruk dan kompleks. Bahkan kadang-kadang dia mungkin terjatuh dalam perkara haram sedangkan ketika itu dia mahu memperoleh amalan salih yang paling sempurna. Kadang-kadang dia meninggalkan satu perkara wajib kerana mahu mendapat satu perkara ‘sunat’ kerana dia sentiasa bertanya sejauhmana kesahihan dan penerimaan amalan yang dilakukannya, lalu anda dapati dia akan sentiasa mengulangi-ulangi amalan tersebut seraya berkata: “Pada pendapat engkau, adakah amalan saya ini sah?” Keadaan berterusan hinggalah dia merasa kecewa dan berputus asa. Lalu syaitan mengambil kesempatan daripada kedudukannya itu dengan melepaskan panahnya sehingga menyebabkan luka dan kecederaan yang dalam.
Terdapat dua penawar bagi luka ini:
Penawar pertama: Ketahuilah bahawa was-was seumpama ini hanya layak bagi golongan Muktazilah yang berkata: “Sesungguhnya segala perbuatan para mukallaf dari sudut pembalasan akhirat adalah baik atau buruk pada zat dirinya sendiri. Kemudian syarak datang untuk mengesahkan bahawa perbuatan ini adalah baik dan perbuatan itu adalah buruk. Iaitu baik dan buruk adalah dua perkara tersendiri yang wujud pada tabiat segala benda menurut pembalasan akhirat. Manakala perintah dan larangan yang datang daripada Allah hanyalah datang kemudian dan ia hanya mengesahkan kebaikan atau keburukan sesuatu perkara.” Oleh itu, tabiat mazhab ini akan menjadikan manusia sentiasa mempersoalkan amalannya dengan berkata: “Adakah amalanku telah dilakukan dalam keadaan yang paling sempurna dan diredhai Allah SWT sebagaimana zat diri amalan itu sendiri atau tidak?” Manakala golongan kebenaran iaitu ahlus sunnah wal jama’ah pula berkata: “Sesungguhnya apabila Allah SWT memerintahkan sesuatu, maka benda itu adalah baik dan apabila Dia melarang daripada sesuatu, maka benda itu adalah buruk.” Maka dengan perintah dan larangan Allah, barulah sesuatu benda itu dapat dipastikan ia adalah baik atau buruk. Iaitu baik atau buruknya sesuatu benda adalah pada pandangan mukallaf itu sendiri dan kedua-duanya bergantung kepada kesudahannya di akhirat tanpa memandang kepadanya di dunia. Contohnya: