BUAH DARI POHON CAHAYA | BUAH DARI POHON CAHAYA | 42
(1-86)
BUKTI PERTAMA
Mari kita pandang ke segala arah. Lihatlah semua benda dengan teliti. Suatu tangan yang tersembunyi sedang melakukan semua ini. Ada sebuah benda yang lebih ringan dari wang syiling dan lebih kecil dari sebuah biji, sedang mengangkat beban seberat seribu paun.[1] Ada benda lain pula, tanpa kita sedari sedikitpun, sedang melakukan sesuatu yang sangat pelik.[2] Mereka tidak dapat berbuat sendiri. Harus ada si pemilik dengan tenaga tersembunyi yang menugaskan mereka bekerja. Kerana jika semua benda dapat memerintah diri sendiri, maka segala yang telah kita lihat dalam kerajaan ini dari hujung ke hujung merupakan suatu rangkaian keajaiban yang saling berkaitan dan merupakan suatu perkara yang mustahil.
BUKTI KEDUA
Mari kita perhatikan dengan baik segala sesuatu yang membuat indahnya dataran lapangan dan daerah pemukiman. Masing-masing menunjukkan wujudnya keajaiban. Lihatlah apa yang dibuatnya dari secubit kapas di hadapan mata engkau.[3] Betapa banyak gulungan kain tenun, katun halus dan kain cita yang dibuat darinya. Lihatlah pula betapa banyaknya gula-gula dan manisan serta kuih-muih lazat yang dihasilkan dari sana. Betapa banyak manusia yang mendapatkan pakaian dan makanan serta keperluannya yang lain. Lihatlah pula bagaimana mereka dapat menguasai besi, tanah, air, batu bara, tembaga, perak, emas bagaikan seekor mangsa yang tertembak jatuh ke dalam dunia yang tidak kelihatan ini, dan membuat potongan-potongan daging dari segala unsur itu.[4] Oleh itu, hai orang yang bodoh, lihatlah dan saksikanlah sendiri! Segala hal dapat membuktikan bahawa ada sesuatu yang dengan tenaga ghaibnya menguasai seluruh negara dengan menggunakan semua unsurnya dan kerana kehendaknya segala sesuatu harus tunduk.
---------------------------------------------------------------------------
[1] Kiasan sel-sel pohon yang mengandungi daya hidup.
[2] Mengkiaskan cara tanaman kecil seperti pohon anggur yang tidak tumbuh ke atas, akan tetapi melilitkan tubuhnya mengelilingi pohon yang kukuh untuk tegak ke atas.
[3] Mengkiaskan benih. Sebutir benih ampium misalnya yang besarnya hanya sekecil atom, atau benih arbei yang ringannya seiringan wang syiling atau biji tembikai. Benih-benih ini menghadiahkan kepada kita dedaunan yang halus serta bunga-bunga berwarna putih dan merah, yang warnanya lebih cemerlang daripada kain kapan serta buah-buahan yang lebih manis daripada gula dan lebih lazat daripada daging panggang dan makanan yang diawetkan dalam tin.
[4] Kiasan makhluk haiwan yang diciptakan daripada setitis darah.
No Voice