BUAH DARI POHON CAHAYA | BUAH DARI POHON CAHAYA | 47
(1-86)
Rakanku, mari kita tinggalkan fakta-fakta ini dan kita periksa komponen dunia yang menakjubkan dan berbentuk istana ini. Saksikanlah betapa perubahan alam semesta telah berlangsung dengan begitu tertib sehingga semua batu, tanah, pohon kayu dan segala yang terdapat dalam istana itu tampaknya mematuhi perintah. Masing-masing seakan-akan merupakan perantara sukarela yang bergerak sesuai dengan perintah tersebut. Benda-benda yang terletak berjauhan saling membantu bagai datangnya rombongan kafilah[1] yang menakjubkan. Mereka bermunculan keluar dari dunia yang tidak kelihatan, dengan puncak-puncaknya yang menyerupai pepohonan, tanaman dan gunung. Masing-masing menjunjung nampan yang penuh dengan perbekalan di atas kepalanya. Kafilah tersebut mengangkut perbekalan untuk berbagai binatang yang menunggu di alam satwa.

Lihatlah dan saksikanlah lampu elektrik[2] yang menerangi kubah langit menerangi jalan kafilah serta berfungsi sebagai alat pemasak makanan yang dibawa. Seperti ada tali yang diikatkan oleh sebuah tangan dalam dunia yang tidak nampak untuk menggantungkan makanan di bawah sinar matahari.[3] Pandanglah dan saksikanlah bagaimana dua buah pam[4] berisikan makanan lazat bergizi telah terpasang bagai mata air di tengah-tengah binatang yang malang, lemah dan tidak berdaya. Makhluk yang tak berdaya itu cukup hanya menempelkan mulutnya pada salah satu pam itu.

Ringkasnya, segala benda di dalam dunia ini saling memerlukan dan saling melengkapi antara satu sama lain. Mereka saling bantu-membantu dan menghulurkan tangan. Untuk menyelesaikan tugas masing-masing mereka sama-sama berusaha dan bekerja. Hal ini membuktikan dengan pasti sebagaimana dua kali dua bersamaan dengan empat; bahawa semua benda tunduk kepada Yang Maha Pencipta istana yang menakjubkan ini. Segala sesuatu bekerja untuk kepentingan-Nya. Segala sesuatu bagaikan perajurit yang menunggu arahan. Segala sesuatu bergerak kerana perintah-Nya. Segala sesuatu tersusun kerana kepandaian-Nya. Segala sesuatu memberikan bantuan melalui kemurahan-Nya. Maka bantahlah hal ini, wahai rakanku jika engkau mampu!
---------------------------------------------------
[1] Yang dimaksudkan dengan kafilah ialah pepohonan dan tanaman yang mengandungi makanan untuk semua binatang.

[2] Kiasan matahari.

[3] Tali dan makanan yang tergantung dikiaskan untuk dahan-dahan halus dan buah-buahan yang lazat dari pepohonan.

[4] Dua buah pam dikiaskan bagi susu ibu.
No Voice