BUAH DARI POHON CAHAYA | BUAH DARI POHON CAHAYA | 62
(1-86)

Kehidupan keluarga yang dijangka penuh dengan kebahagiaan tidak lama kemudian akan berubah dalam dunia yang bergelojak dan situasi yang tidak stabil ini. Hubungan-hubungan dalam kehidupan yang singkat ini gagal melahirkan rasa sayang yang sesungguhnya, keikhlasan hati, cinta kasih dan kesediaan untuk berbakti. Malah sifat-sifat mulia itu akan berkurangan atau hilang sama sekali.

Akan tetapi jika kepercayaan kepada akhirat telah meresap ke dalam rumahtangga tersebut, nescaya akan nampak cahaya gemilang di dalamnya. Sifat-sifat mulia seperti rasa hormat yang tulus, cinta kasih, sopan santun, kesetiaan dan kesabaran akan berkembang. Hubungan dan daya tarikan rumahtangga akan menjadi kekal. Tidak diukur dengan kehidupan dunia yang singkat ini sahaja tetapi akan diteruskan sampai ke akhirat. Kebahagiaan hakiki mulai terasa dalam rumahtangga tersebut. Kerana masalah ini juga telah dihuraikan dalam Risalah an-Nur lengkap dengan bukti-buktinya, maka kita akhiri diskusi ini sampai di sini.

Setiap bandar adalah sama halnya dengan sebuah rumahtangga bagi penghuninya. Jika kepercayaan kepada hari akhirat tidak dimiliki oleh para penghuni rumahtangga besar itu, maka tempat yang menjadi dasar bagi sifat-sifat baik seperti kejujuran, ketaatan, kebajikan, maruah, pengorbanan, kepatuhan kepada perintah Tuhan dan gemar akan pahala di akhirat itu akan diganti oleh sifat-sifat tercela seperti pilih kasih, licik, egois, munafik, suka memberi dan menerima rasuah serta menipu. Di balik topeng dan peri kemanusiaan berlakulah anarki dan kebiadaban.

Kehidupan bandar telah diracuni. Anak-anak menjadi malas. Para pemuda suka minuman keras. Orang-orang berkuasa akan melakukan penindasan dan pemerasan dan para warga tua dibiarkan teronta-ronta.

Setiap negara juga dapat dianggap sebagai sebuah rumahtangga. Tanah air adalah bagaikan suatu rumahtangga besar yang dihuni oleh keluarga iaitu bangsa. Jika di dalam rumahtangga besar ini ada kepercayaan kepada akhirat, maka rasa hormat yang tulus, rasa kasihan yang sebenar, cinta yang tidak pilih kasih, keramahan, kesediaan menolong, kemurahan hati yang tidak dibuat-buat, kemuliaan tanpa egoisme dan sifat agung lainnya itu akan berkembang subur dalam negara tersebut.
No Voice