BUAH DARI POHON CAHAYA | BUAH DARI POHON CAHAYA | 59
(1-86)
Hasil dari semua ini ialah manusia yang kesenangannya di dalam dunia ini kurang dibandingkan kesenangan burung gereja, akan dimuliakan lebih dari haiwan. Dia menjadi tetamu yang beruntung dan terpilih dari segala makhluk ciptaan Tuhan Pencipta Alam.

Sampai di sini kita akhiri mengenai kepercayaan kepada hari akhirat kerana ia telah dibahas di tempat lain dengan bukti-bukti mencukupi di Risalah an-Nur.

Keempat: Keuntungan keempat dari percaya kepada akhirat berkaitan dengan kehidupan sosial manusia. Berikut ini adalah ringkasan yang dimuatkan dalam “Kata Kesembilan” dari Risalah an-Nur. Hanya kerana percaya kepada hari akhirat, maka kanak-kanak yang merupakan seperempat bahagian dari jumlah manusia seluruhnya dapat hidup secara manusiawi dan memiliki perikemanusiaan. Jika tidak, maka untuk melupakan diri dan menghilangkan rasa cemas yang dihadapinya, kanak-kanak tersebut hanya berani hidup dengan mainan mereka sahaja. Kerana peristiwa kematian kanak-kanak sebaya mereka akan memberi kesan ke atas jiwa peka si anak serta ke atas dirinya yang menyimpan begitu banyak harapan yang indah pada masa hadapan. Padahal, sememangnya semangat tidak dapat membela diri sehingga kehidupan dan kecerdikannya akan menjadi alat seksaan bagi anak yang malang itu. Oleh itu, jika dia belajar untuk percaya kepada hari kiamat dan akhirat dan dia akan mengatakan, ”Abangku, rakanku meninggal dunia dan menjadi penghuni syurga. Dia lebih bahagia kini dan lebih banyak mainannya daripada kita. Ibuku pun telah meninggal dunia. Ibu mendapat keampunan Tuhan. Ibu akan memelukku dan mencintaiku di syurga dan aku akan bersama ibu lagi!.” Dengan berkata begitu, dia akan mendapat kehidupan yang layak bagi seorang amak manusia.
Orang tua yang merupakan seperempat dari umat manusia di dunia dapat menghiburkan diri apabila mereka menghadapi sakratul maut dan akan meninggalkan dunia yang indah dan tercinta kerana mereka percaya kepada hari kemudian. Jika tidak kerana itu, maka bapa-bapa yang mulia dan ibu-ibu yang berbudi luhur itu akan menderita lahir batin sehingga dunia terasa bagaikan penjara bagi mereka dan hidup ini bagaikan penyakit yang menyeksakan. Tetapi mereka yang percaya kepada hari akhirat akan membisikkan, “Jangan bimbang. Engkau akan mengalami masa muda yang kekal! Hidup yang cerah tanpa akhir menantimu. Engkau akan berkumpul dengan anak-anak dan saudara-saudara yang mendahuluimu. Semua perbuatan baik yang pernah engkau lakukan akan dicatit dan engkau akan mendapat ganjarannya!.” Maka percaya kepada akhirat menjadi penglipurlara sehingga andaikata perbuatan baik itu diperkecilkan sehingga seperseratus, nescaya bapa-bapa dan ibu-ibu tetap tidak merasa resah.
No Voice