Biografi Bediüzzaman Said Nursi | Biografi Bediüzzaman Said Nursi | 24
(1-144)
Namun kelemahan dan ketidakupayaanku pada malam-malam yang menyedihkan, panjang dan penuh dengan perasaan perpisahan, kelemahan dan keterasingan ini telah menjadi dua wasilah untuk bertaqarrub kepada Allah Ta’ala dan menjadi penolong untuk mengadu kepada-Nya sehingga kini saya masih hairan mengapa saya boleh, hanya dalam beberapa hari sahaja melarikan diri dan menempuh jarak yang tidak mungkin ditempuh dengan jalan kaki kecuali setahun berlalu dengan cepat sekali; tambahan pula saya tidak tahu berbahasa Rusia. Saya mampu membebaskan diri dari penawanan yang aneh sekali iaitu dengan pertolongan Tuhan, setelah mengetahui kelemahan dan ketidakupayaanku. Saya tiba di Istanbul dengan melewati Warsaw dan Vienna. Demikianlah saya selamat dari penawanan itu dengan aneh sekali kerana begitu mudahnya. Perjalanan melarikan diri yang lama itu saya tempuh dengan mudah dan menyenangkan. Padahal orang yang paling berani, paling cerdik dan paling tangkas serta pandai berbahasa Rusia pun belum tentu boleh melakukannya.” (19)

DARI DAR AL-HIKMAH AL-ISLAMIYYAH
Di Istanbul pada 13 Ogos 1918M, Badiuzzaman dilantik tanpa pengetahuannya sebagai anggota Dar al-Hikmah al-Islamiyyah sebagai penghormatan untuknya. Keanggotaan Dar al-Hikmah tersebut tidak diberikan kecuali kepada para tokoh dan ulama’ yang menonjol. Anggotanya antara lain adalah: Penyair yang terkenal Muhammad Akif, ulama’ Ismail Haqqi, ahli tafsir yang mahsyur Hamdi Alamili, Syaikh Islam Mustafa Sabri, Sa’duddin Basha dan lainnya.
Said belum pernah menyertai pertemuan Dar al-Hikmah kerana memang sangat memerlukan istirehat setelah menderita di dalam tawanan. Kerana sering tidak hadir maka beliau mengundurkan diri dari keanggotaan ini. Ketika itu pemerintahan telah memperuntukkan gaji untuknya. Beliau tidak menerima gaji tersebut kecuali untuk keperluan hidupnya. Bakinya beliau gunakan untuk mencetak beberapa risalah untuk disebarkan di kalangan kaum Muslimin secara rawak.
Anak saudaranya, Abdurrahman, yang tinggal bersamanya ketika itu berkata di dalam surat yang ditujukan kepada bapa saudaranya, Abdul Majid, “Saya sungguh hairan dengan sikap bapa saudara saya (Said). Beliau telah memadamkan harapan keduniaanku. Pemerintah telah memberi beliau gaji yang amat besar. Saya menyimpan baki yang tertinggal dari keperluan kami. Beliau waktu itu telah banyak menulis buku dan suatu hari beliau memanggilku, “Pergilah. Panggilkan pengarah percetakan itu.” Lalu saya pun pergi. Ketika beliau menyerahkan karangan-karangannya kepada pengarah tersebut beliau berkata kepadaku, “ Hai Abdurrahmana! Ambil wang yang kamu simpan dan berikan kepada pengarah ini.” Maka saya pun melakukan apa yang disuruhnya. Ketika pengarah itu telah pergi mata saya bergenang dengan air mata, akan tetapi saya terus menghiburkan diri sambil berkata di dalam hati, “buku-buku itu akan dicetak dan dijual. Wang itu pasti kembali dan nanti saya akan simpan wang itu.”
No Voice