Biografi Bediüzzaman Said Nursi | Biografi Bediüzzaman Said Nursi | 26
(1-144)
Ketika saya merasa bahawa saya adalah orang yang paling bahagia di dunia ini, saya melihat ke cermin. Saya melihat beberapa uban putih di kepala dan di janggutku. Tiba-tiba kesedaran jiwa yang pernah saya rasakan ketika dalam tawanan di masjid Quatarma dahulu mulai timbul kembali. Saya lalu berfikir dan merenungi keadaan-keadaan yang berkaitan denganku dahulu. Saya menduga bahawa itulah sebenarnya proses kebahagiaan dunia. Tiada satu keadaan atau sebab yang kurenungi melainkan saya lihat bahawa itu hanyalah sebab yang remeh dan menipu, tidak layak untuk dipegangi dan dihubungi. Tambahan pula saya mendapati pada masa itu kurangnya kesetiaan malah tiada kesetiaan, dari seorang kawan akrab dengan tidak disangka-sangka.. Semua itu membuat saya lari menjauhkan diri dari kehidupan dunia. Saya berkata kepada hati saya sendiri, “Tahukah kamu apakah saya telah terpedaya sama sekali, sehingga saya melihat orang-orang yang melihat kehidupan kita yang sebenarnya, perlu diratapi dengan penglihatan iri dan dengki? Apakah semua orang itu sudah gila? Ataukah saya sendiri yang hampir gila kerana saya melihat mereka yang tertipu dengan dunia sebagai orang-orang gila dan bodoh?” apapun keadaannya kesedaran yang menyelinap ke dalam diriku kerana melihat uban itu telah membuatku melihat kefanaan segala sesuatu yang berhubung dengan yang mampu fana dan musnah.”
Kemudian saya menoleh kepada diri sendiri. Saya dapati ia sangat lemah! Ketika itu menjeritlah jiwaku yang mendambakan kekekalan dan malah bergantung kepada benda-benda yang fana kerana beranggapan ia akan kekal. Dia menjerit dari lunuk yang paling dalam, “Selama saya fana secara jasmani, maka faedah apakah yang saya harapkan dari benda-benda yang fana ini? Selagi saya lemah maka apakah yang saya nantikan dari orang-orang lemah?.. Tidak ada ubat pada penyakitku selain pada Yang Maha Kekal Abadi dan selain pada Yang Maha Kuasa lagi Azali. Saya lalu segera mencari.” (22)
Ketika Inggeris telah menawan Istanbul pada 16 Mac 1920M, Badiuzzaman mengarang bukunya “al-Khuthuwat as-Sittu” dan menerbitkannya secara bersembunyi dengan bantuan murid-murid dan kawan-kawannya. Di dalam buku tersebut Badiuzzaman menyerang Inggeris dengan nada yang lantang dan menjawab semua keraguan yang timbul pada waktu itu dengan bukti-bukti yang kuat. Beliau juga menarik perhatian kaum Muslimin terhadap ketamakan para penjajah dan memerangi sifat putus asa yang banyak menguasai orang serta membangkitkan semangat mereka. (23)
Dan di antara rangkaian komplot terhadap Islam ialah bahawa Inggeris melalui gereja Anglikan mengajukan enam pertanyaan kepada tokoh-tokoh Islam supaya mereka menjawab dengan enam ratus perkataan. Tokoh-tokoh Islam itu menyebarkan pertanyaan-pertanyaan tersebut kepada Badiuzzaman. Jawapan beliau adalah, “Pertanyaan-pertanyaan ini tidak dijawab dengan enam ratus perkataan atau enam perkataan atau satu perkataan akan tetapi dengan satu ludah di wajah lancang Inggeris yang terkutuk.” (24)
No Voice