Biografi Bediüzzaman Said Nursi | Biografi Bediüzzaman Said Nursi | 9
(1-144)

KELAHIRANNYA

Di antara pergunungan yang gagah dan tinggi yang puncaknya dilitupi salji di langit yang putih bersih dan bersamaan dengan seruan fajar, lahirlah Said Nursi di desa “Nursi” iaitu salah sebuah desa di daerah Khaizan, penguasaan Bitlis, utara Anatolia pada tahun 1293H / 1873M.
Ayah beliau, Sufi Mirza adalah seorang yang sangat warak; tidak pernah makan makanan haram dan tidak pernah memberi anak-anaknya makan selain dengan yang halal. Bahkan apabila beliau pulang bersama kambing-kambing gembalaannya dari tempat pengembalaannya, beliau mengikat mulut kambing-kambing tersebut supaya tidak makan tanaman orang lain. Dan ibu beliau, Nuriyah berkata bahawa beliau tidak pernah menyusukan Said kecuali dalam keadaan suci dan berwudu’.

PERKEMBANGANNYA
Tanda-tanda kecermelangan dan kecerdasan telah nampak pada diri Said sejak kanak-kanak. Beliau sentiasa bertanya dan ingin tahu terhadap hal-hal yang tidak difahaminya. Beliau menghadiri majlis-majlis orang besar-besar dan mendengarkan apa yang mereka bahas dalam pelbagai masalah. Terutama sekali beliau sering mendengarkan ulama’ desanya yang berkumpul di rumah ayahnya pada malam-malam musim dingin yang panjang. Pernah terdetik di dalam fikirannya persoalan yang bagus sekali. Kata beliau tentang dirinya sendiri, “Pada masa kanak-kanak, khayalan saya dahulu berkata, “ Mana yang kamu utamakan; menghabiskan umur bahagia dengan para sultan dunia dan kemewahannya tetapi setelah itu berakhir dengan kehampaan atau kewujudan yang kekal dengan kehidupan yang biasa yang banyak kesukarannya?” Saya memilih yang kedua dan menolak pilihan pertama seraya berkata, “Saya tidak mahu kehampaan. Saya mahu kekekalan.” (1)
Beliau adalah orang yang bersifat satria, mulia, tidak menerima kezaliman dan tidak mahu berbuat zalim sejak kecil. Akhlak-akhlak ini telah tertanam pada dirinya sehingga ketika beliau dewasa, akhlak-akhlak tersebut tercermin pada sikapnya terhadap orang-orang yang ditemuinya dari kalangan para pemimpin dan penguasa.
No Voice